Anda di sini

Pesilat kita sudah bersiap sedia

Advertisement
 Fazzrudin (kanan) menyerahkan bendera Sarawak kepada Yusnar pada penutupan Latihan Skuad Silat Sarawak ke SUKMA XIX Fasa-IV di Kem Belia Kemunyang, Sibu kelmarin.
SIMBOLIK: Fazzrudin (kanan) menyerahkan bendera Sarawak kepada Yusnar pada penutupan Latihan Skuad Silat Sarawak ke SUKMA XIX Fasa-IV di Kem Belia Kemunyang, Sibu kelmarin.

SIBU: Seramai 36 pesilat Sarawak sudah bersiap sedia menyahut cabaran pada Sukan Malaysia Ke-19 (SUKMA XIX) di Perak yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 28 Oktober nanti.

Penolong Chef-de-Mission (ACDM) bagi skuad silat Sarawak ke SUKMA XIX, Fazzrudin Abdul Rahman berkata semua pesilat Sarawak berjaya melengkapkan keempat-empat fasa latihan  bermula sejak Februari lalu.

Beliau berkata, harapan skuad silat Sarawak membawa pulang emas kini hanya terletak pada faktor utama iaitu iringan doa dan sokongan padu daripada seluruh rakyat negeri ini.

Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Tupong) berkata pada SUKMA lalu Sarawak muncul juara acara silat.

“Faktor kedua kita laksanakan dengan baik. Saya menerima laporan daripada jurulatih, pengurusan (atlet silat) dan kementerian menyatakan komitmen pesilat kita luar biasa.

“Mereka menunjukkan peningkatan dalam latihan dan mudah menerima ilmu baharu seperti yang diterima di Indonesia dan Semenanjung Malaysia.

“Begitu cepat mereka mengadaptasikan ilmu-ilmu baharu itu untuk dipraktikkan dalam sukan tersebut. Jadi, faktor kedua sudah tidak menjadi masalah.

“Sebab itu, kita mengharapkan faktor utama iaitu doa dan sokongan daripada rakyat,” katanya pada penutupan Latihan Skuad Silat Sarawak ke SUKMA XIX Fasa IV di Kem Belia Kemunyang di sini petang kelmarin.

Fazzrudin turut menyeru skuad pesilat Sarawak mencontohi semangat juang dan keberanian pejuang Sarawak, Rosli Dhoby dan rakan-rakan seperjuangannya dalam mempertahan hak Sarawak pada suatu ketika dahulu.

Jelasnya, itu merupakan kateria rakyat Sarawak khususnya pesilat-pesilat Sarawak.

“Maka, yakinlah pesilat kita sifat itu sudah ada dalam diri kita. Ia terpulang pada kita untuk keluarkannya semasa berhadapan dengan pihak lawan nanti,” ujar beliau.

Terdahulu, dalam ucapan Pengurus Pasukan Pencak Silat Sarawak SUKMA XIX 2018, Datuk Mohd Yusnar Matalie berkata awalnya seramai 56 pesilat menyertai latihan Fasa I, di Kem Belia Sarikei bermula Februari hingga Jun.

Seterusnya, Latihan Fasa II diadakan di Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (Pulapot) ATM di Semenanjung Malaysia pada Julai lalu dan dalam bulan sama Fasa III diadakan selama 20 hari di Bandung, Indonesia sebelum fasa terakhir selama sebulan di Kem Belia Kemunyang, Sibu pada Ogos lalu.

“Akhirnya, kita mempunyai 36 pesilat menyarung jersi silat untuk menyahut cabaran Sarawak pada SUKMA XIX di Perak nanti.

“Dalam tempoh itu, banyak suka duka dan perkara dilalui oleh pesilat kita. Justeru, saya yakin 36 pesilat Sarawak sudah besedia bertemu lawan mereka setelah menjalani latihan cukup dan padu,” katanya.

Sementara itu, majlis tersebut turut dihadiri oleh anak-anak yatim dari Kompleks Peryatim Sibu.

  • oleh
  • Advertisement