Anda di sini

Kerajaan sasar tingkat pengeluaran beras Sabah

Advertisement
DAUD sedang berbincang ketika mengadakan tinjauan ke Kampung Bunal.
DAUD sedang berbincang ketika mengadakan tinjauan ke Kampung Bunal.

BONGAWAN : Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran beras di negeri ini yang ketika ini bergantung kepada beras import.

Pembantu Menteri Pertanian Dan Industri Makanan, Dr Daud Yusof berkata setakat ini Sabah hanya mengeluarkan beras sebanyak 28 peratus.

Katanya, bagi mencapai objektif untuk meningkatkan pengeluaran beras kerajaan menyasarkan untuk membangunkan tanah terbiar di negeri ini dengan tanaman padi besar-besaran.

"Kita telah mengenal pasti beberapa kawasan terbiar yang sesuai untuk tanaman padi yang melibatkan 3,400 ekar kawasan di daerah Papar dan Bongawan.

"Kita maklum bahawa di Papar masih banyak kawasan yang berpotensi di majukan. Kita mahu menjadikan Sabah sebagai salah sebuah negeri pengeluar padi selain daripada Semenanjung Malaysia, " katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan Projek Penanaman Padi yang ada sumber pengairan (K-Satu) kendalian Pertubuhan Peladang Negeri Sabah dan Pertubuhan Peladang Jentera Cawangan Papar di Kampung Bunal, Bongawan.

Dalam pada itu, Daud yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bongawan berkata, pihaknya turut bercadang untuk memajukan tanah terbiar di kampung Nyaris-Nyaris untuk tanaman padi.

Katanya, ia akan diusahakan secara berperingkat dengan melibatkan kawasan seluas 100 ekar.

Dalam perkembangan berkaitan, selain Kampung Bunal, tiga kampung lagi turut dibangunkan dengan projek penanaman padi K-Satu iaitu Kampung Darat Pauh, Kampung Logan dan Kampung Sabang, Bongawan.

Setakat ini, lebih 1,000 ekar tanah di kawasan Bongawan telah dibangunkan sebagai lokasi penanaman padi.

  • oleh
  • Advertisement