Anda di sini

Tergamam lihat polis, dua lelaki campak dadah

Advertisement
 Beg silang yang mengandungi syabu dirampas semalam.
TERBONGKAR: Beg silang yang mengandungi syabu dirampas semalam.

LIMBANG: Dua remaja lelaki tergamam sebaik melihat kehadiran polis sebelum sempat mencampakkan sebuah beg silang yang disyaki mengandungi syabu dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pemukat di sini, petang kelmarin.

Suspek, 23, yang berasal dari Kampung Limpaki itu bersama rakannya, 19, dari Lawas berada di hadapan rumah tersebut ketika diserbu polis jam 1.45 petang.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata, sebaik menyedari kehadiran polis suspek pertama mencampakkan satu beg silang berwarna merah mengandungi sepeket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Dadah seberat 0.35 gram bernilai RM50 yang ditemui dalam beg terbabit turut dirampas,” katanya semalam.

Suspek juga katanya, positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphethamine hasil ujian saringan awal polis yang dilakukan terhadapnya, manakala suspek kedua negatif dadah.

Hasil siasatan awal beliau memberitahu, bekalan dadah diperolehi daripada pengedar tempatan dan suspek pertama membuat pengakuan dadah yang dirampas itu adalah untuk dijual kepada para penagih di sekitar kampung terbabit.

Kedua-dua mereka yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau akan direman hari ini bagi melengkapkan kertas siasatan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

  • oleh
  • Advertisement