Anda di sini

Tangani kematian gajah: Shafie

Advertisement
SHAFIE APDAL
SHAFIE APDAL

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal arah dua kementerian laksana inisiatif baharu bagi menangani peningkatan kes kematian gajah di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Christina Liew bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan Junz Wong diarah supaya mengadakan mesyuarat khas dengan pemilik-pemilik ladang di kawasan habitat gajah yang dikenal pasti.

Shafie berkata, langkah berkenaan bagi membolehkan para pemilik ladang melibatkan pekerja mereka dalam membantu memerangi pemburuan dan pembunuhan di kawasan ladang.

Katanya, inisiatif yang dijalankan harus merangkumi usaha semua agensi yang relevan untuk bekerjasama dengan penduduk yang tinggal di zon konflik manusia-gajah.

Menurutnya, pihak berkenaan perlu dididik cara untuk menangani masalah gangguan gajah di kampung, kebun dan perladangan.

"Pekerja-pekerja ladang menunjukkan tanggungjawab mereka dengan melaporkan kegiatan yang luar biasa seperti anak gajah tersesat atau gajah terkena perangkap.

"Sebagai orang yang sentiasa berada di kawasan lapangan, tindakan mereka lebih berkesan dalam mengenal pasti elemen jenayah yang berniat untuk mengaut keuntungan dari aktiviti haram," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pemilik kebun dan petani juga perlu berusaha untuk membuang perangkap jerat yang diletakkan pemburu di kawasan mereka.

Dalam pada itu jelasnya, gajah di Sabah dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang dan tindakan mencederakan atau membunuh hidupan liar berkenaan adalah satu jenayah.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar rakyat sentiasa menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi memastikan perlindungan gajah di negeri ini.

"Apabila media melaporkan 25 ekor gajah mati dalam tempoh lapan bulan tahun ini, ia amat mengejutkan.

"Saya sangat prihatin dengan jumlah kematian terbabit kerana gajah adalah haiwan ikonik bagi Sabah.

"Kita perlu berusaha keras dan menggunakan segala kuasa yang ada bagi menamatkan kematian yang tidak masuk akal ini dari terus berleluasa," katanya.

Shafie berkata, gajah sebagaimana hidupan liar lain seperti orang utan atau monyet proboscis adalah warisan yang perlu dijaga untuk generasi akan datang.

"Saya diberitahu terdapat hanya 1,500 hingga 2,500 gajah yang masih hidup liar dan ini membimbangkan kerana haiwan ini boleh pupus dalam beberapa dekad.

"Justeru, usaha untuk memulihara hidupan liar tidak boleh diletakkan pada kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) semata-mata," katanya.

Beliau berkata, masyarakat, penduduk kampung, pemilik ladang dan pekerja mereka perlu bekerjasama dalam memerangi isu pemburuan haram hidupan liar.

  • oleh
  • Advertisement