Anda di sini

APMM rampas 230 ekor tiger shark, 5,000kg ikan gred A

Advertisement
ZAWAWI menunjukkan tiga bot nelayan yang dirampas dalam Ops Sejahtera di perairan Pulau Mengalum.
ZAWAWI menunjukkan tiga bot nelayan yang dirampas dalam Ops Sejahtera di perairan Pulau Mengalum.

KOTA KINABALU: Hasrat tiga bot nelayan Vietnam menyeludup keluar hasil laut negara ini tidak kesampaian apabila tindakan mereka berjaya digagalkan sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semasa Operasi Sejahtera (Ops Sejahtera).

Pegawai Memerintah Kapal Maritim (KM) Arau Kapten Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata dua siri serbuan dalam operasi itu berjaya merampas sejumlah 230 ikan yu jenis tiger shark dan 5,000 kilogram (kg) pelbagai jenis ikan kategori gred A.

Turut ditahan 35 awak-awak warga Vietnam yang menaiki tiga bot milik negara terbabit.

"Bot pertama yang dinaiki 19 kru berjaya ditahan pada 28 Ogos di 20 batu nautika dari Pulau Mengalum dan hasil siasatan mendapati tekong bot gagal menunjukkan lesen sah untuk membolehkan bot nelayan beroperasi di perairan kita," katanya.

Beliau berkata dua lagi bot turut ditahan pada Rabu di kedudukan 15 batu nautika barat daya Pulau Mengalum.

"Hasil siasatan mendapati terdapat 230 ekor tiger shark yang masih hidup serta disimpan di dalam bekas khas mempunyai sistem pengudaraan yang baik bagi membolehkan ikan yu terbabit hidup lebih lama dan dapat dijual dengan harga tinggi.

"Kedua-dua bot yang dinaiki 16 awak-awak bagaimanapun mempunyai lesen sah yang dimiliki oleh warga tempatan," katanya.

IKAN yu jenis tiger shark yang berjaya dirampas APMM dalam Ops Sejahtera.
IKAN yu jenis tiger shark yang berjaya dirampas APMM dalam Ops Sejahtera.

Tambahnya kedua-dua kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana gagal mematuhi syarat sah lesen manakala dua bot yang memiliki ikan yu sebagai haiwan dilindungi akan disiasat di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.

Mengenai modus operandi yang digunakan oleh nelayan asing terbabit, Zawawi berkata pihaknya mendapati kebanyakan aktiviti membabitkan penyeludupan hasil laut negara berlaku di perairan antarabangsa.

"Kita tidak menolak kemungkinan nelayan asing yang mempunyai lesen sah negara ini dipercayai memindahkan hasil tangkapan ke dalam bot mereka sebelum dijual ke luar negara dan aktiviti juga sudah berlangsung selama tiga tahun sebelum ini.

"Anggota kita juga sedang mengenalpasti kegunaan sebenar ikan yu sama ada pada bahagian sirip atau bahagian lain ikan ini," katanya sambil menambah, spesis ikan itu adalah terancam dan perlu dibiarkan hidup dalam ekosistem laut secara bebas.

  • oleh
  • Advertisement