Anda di sini

Lelaki miliki peluru hidup enggan beri kerjasama ditangkap

Advertisement
 Peluru hidup yang ditemui dalam trak pikap dinaiki suspek.
DIRAMPAS: Peluru hidup yang ditemui dalam trak pikap dinaiki suspek.

LIMBANG: Seorang lelaki enggan memberikan kerjasama kepada polis selepas ditahan kerana disyaki memiliki peluru hidup yang disimpan dalam trak pikap hitam di kawasan Kampung Tanjung, Jalan Medamit dekat sini.

Suspek, 43, dari rumah panjang di kawasan Kuala Mendalam, ditahan sepasukan anggota polis yang mengadakan operasi pemantauan kegiatan haram sabung ayam sekitar jam 2 petang di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata, lima peluru jenis penabur dan satu kelongsong peluru penabur dijumpai di dalam beg yang diletakkan di tepi tempat duduk pemandu.

“Dalam pemeriksaan sama, kita turut menemui 14 bilah taji ayam di dalam beg yang diletakkan di bahagian belakang pemandu,” katanya semalam.

Beliau berkata, ketika disoal siasat suspek enggan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memberi keterangan berhubung penemuan peluru hidup itu.

Suspek ujarnya, dibawa ke Mahkamah Majistret Limbang kelmarin untuk permohonan reman dan siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 & 6(1) dan Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Advertisement