Anda di sini

Kerajaan laksana bajet asas-sifar untuk proses pemerolehan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia melaksanakan sistem Bajet Asas-Sifar (Zero-Based Budgeting) (ZBB) sebagai sebahagian daripada proses pemerolehan dalam usaha mengamalkan tadbir urus yang baik.

Pegawai Khas Menteri Kewangan Tony Pua berkata, sistem bajet baharu inisiatif Kementerian Kewangan itu dijangka dilaksanakan tahun ini dan akan bermula dari sifar.

“Ini adalah sistem bajet yang mana anda (kementerian dan agensi kerajaan) bermula dari awal. Anda tidak mengikut struktur bajet kerajaan terdahulu.

“Anda sebenarnya berfikir mengenai apa yang anda mahu lakukan untuk tahun hadapan dan tulis bajet berkenaan, ini adalah pemisahan daripada tabiat lama. Justeru, tiada pembaziran,” katanya pada pelancaran Kertas Dasar mengenai Pemerolehan Awam, di sini, semalam.

Pua berkata, sistem bajet pada masa ini yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional mewujudkan mekanisme inflasi.

Katanya, walaupun sistem ZBB adalah mencabar untuk dilaksanakan, kementerian akan meneruskannya.

“Melalui sistem ini, kaedah salin dan tampal yang dilakukan kerajaan terdahulu tidak akan berjaya, justeru jika kita tidak memisahkannya daripada kaedah lama yang mana terlebih beli dan terlebih belanja setiap tahun, ia akan mendatangkan masalah besar,” tambahnya.

ZBB adalah kaedah bajet di mana segala perbelanjaan oleh kementerian dan agensi kerajaan perlu diwajarkan bagi setiap tempoh tender baharu dan setiap fungsi dalam kerajaan dianalisa akan keperluan dan kosnya, yang mana bajet ditetapkan terhadap apa yang diperlukan untuk tahun berikutnya.

Sementara itu, pelancaran Kertas Dasar berhubung Pemerolehan Awam oleh The Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) menyatakan bahawa kerajaan membelanjakan RM150 bilion terhadap pemerolehan barangan, kerja dan perkhidmatan setiap tahun.

“Ini bersamaan dengan hampir satu per lima Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal Malaysia,” kata laporan itu.

Ringkasnya, laporan itu mencadangkan Kementerian Kewangan mengikuti dengan ketat peraturan dan undang-undangnya sendiri untuk sistem tender terbuka.

Ini termasuk menyemak semula pelan pemerolehan tahunan untuk semua agensi kerajaan dan memastikan kaedah pemerolehan dinyatakan bagi semua projek dan pematuhan kepada keperluan tender terbuka, kata laporan itu dan menambah bahawa akhirnya, menubuhkan unit audit dalaman terhadap polisi pematuhan dan pemerolehan.  

Laporan itu mencadangkan kepada kerajaan persekutuan untuk mencontohi kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang dalam membina portal berasingan dan khas untuk menyediakan maklumat berhubung pemerolehan awam.

“Ini termasuk notis meminta sebut harga atau tender serta dokumen berkaitan dan keputusan muktamad terhadap semua pemerolehan awam selain menubuhkan sebuah portal sehenti pemerolehan awam untuk semua kementerian dan agensi kerajaan persekutuan,” kata laporan itu. — Bernama

Advertisement