Anda di sini

Guna getah tempatan untuk laksana projek

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Industri Utama menggesa agensi kerajaan mengeluarkan arahan kepada kontraktor untuk menggunakan produk getah tempatan bagi mempromosikan industri berkenaan dan memberi manfaat kepada pekebun kecil.  

“Tidak masuk akal apabila sarung tangan getah kita, misalnya, dieksport secara meluas ke banyak negara, tetapi getah tempatan tidak digunakan dalam banyak projek di Malaysia,” kata Menterinya, Teresa Kok Suh Sim kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Ekonomi Getah Kebangsaan 2018, di sini, semalam.

Katanya, getah dan minyak sawit adalah dua komoditi utama yang seharusnya dipromosikan, terutamanya apabila industri berkenaan dipacu oleh program inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dapat meningkatkan produk berkenaan.

Kok juga menyatakan bahawa Malaysia tidak lagi boleh menjual getah dan minyak sawit sebagai komoditi semata-mata, tetapi juga sebagai produk ditambah nilai.

“Melalui asas pengeluar produk getah kita yang kukuh, infrastruktur yang cemerlang, R&D yang didorong oleh pasaran dan usaha bersama kementerian dan agensi berkaitan, industri getah Malaysia sudah berubah dan mengalihkan fokusnya kepada aktiviti hiliran, terutama dalam menghasilkan produk inovasi mewah,” tambahnya.

Industri getah menyumbang sebanyak RM32.2 bilion terhadap keuntungan eksport pada 2017, peningkatan RM7.5 bilion atau 30 peratus berbanding tahun sebelumnya, disebabkan oleh permintaan global yang kukuh terhadap produk getah.

Terdahulu, ketika berucap, Kok berkata, kira-kira setengah juta pekebun kecil getah menghasilkan hampir 93 peratus getah asli Malaysia.

Sebagai langkah jangka pendek untuk menggalakkan mereka terus menoreh di waktu harga getah yang rendah dan untuk memastikan tahap pendapatan minimum yang mampan, kerajaan akan terus melaksanakan program Insentif Pengeluaran Getah (IPG) melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM)

Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Zairossani Mohd Nor, berkata IPG akan mempastikan pekebun kecil memperoleh pendapatan minimum antara RM1,200 and RM1,300 untuk purata dua hektar kebun getah.

“Insentif berkenaan bergantung kepada harga getah. Secara purata kita boleh memberi 30 sen atau 40 sen sekilogram kepada pekebun kecil yang mana kita harap akan membantu menyokong industri lateks yang pada masa ini sedikit menurun,” tambahnya. — Bernama

Advertisement