Anda di sini

Formula Satu: Vettel takluk Litar Spa-Francorchamps

Advertisement
 Vettel ceria selepas selepas memenangi perlumbaan Grand Prix Belgium di Litar SPA-FRANCORCHAMPS, Belgium Ahad  lepas. — Gambar AFP
UNGGUL: Vettel ceria selepas selepas memenangi perlumbaan Grand Prix Belgium di Litar SPA-FRANCORCHAMPS, Belgium Ahad lepas. — Gambar AFP





SPA-FRANCORCHAMPS, Belgium: Sebastian Vettel merapatkan jurang ketinggalan 17 mata di belakang Lewis Hamilton dalam saingan kejuaraan dunia kategori pemandu Formula Satu (F1) selepas memenangi perlumbaan Grand Prix Belgium untuk pasukan Ferrari.

Hamilton, yang bermula di petak pertama perlumbaan, menamatkan perlumbaan di tempat kedua untuk Mercedes selepas gagal memberikan saingan serius kepada Vettel, yang mencipta kemenangan ketiga beliau di Spa dan kemenangan pertama Ferrari sejak 2009.

Ia adalah kemenangan kelima Vettel musim ini, menyamai kemenangan Hamilton dan kemenangan ke-52 dalam kariernya untuk mengatasi rekod Alain Prost (51) dan satu pencapaian memberangsangkan di mana beliau menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 11.061 saat di hadapan Hamilton.

“Lebih banyak kemenangan berbanding Alain? Whoah!” kata Vettel. “Saya bernasib baik dengan trafik hari ini dan saya boleh melihat Lewis mengurangkan pecutan pada 15 pusingan terakhir. Saya bermula dengan baik dan sebaik sahaja saya di hadapan, saya memandu dengan tenang. Ia perlumbaan yang sangat lancar.”

Vettel mengurangkan ketinggalan di belakang Hamilton dengan tujuh mata menjelang perlumbaan Grand Prix Itali hujung minggu ini.

“Tahniah Seb (Vettel), saya melakukan segala-gala yang saya mampu dan akhirnya kami mencapai keputusan yang baik tetapi beliau memotong saya dengan agak mudah,” kata Hamilton. “Mereka memiliki sesuatu dalam kereta mereka dan kami harus terus meningkatkan lagi usaha.”

Max Verstappen menamatkan perlumbaan di tempat ketiga untuk pasukan Red Bull, di hadapan rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas, yang bermula di petak kesembilan dengan Sergio Perez mengetuai cabaran pasukan ‘baharu’ Force India.

Esteban Ocon, di mana masa depan beliau tidak terjamin selepas hartawan Kanada, Lawrence Stroll membeli Force India, menduduki tempat keenam di hadapan Romain Grosjean dan rakan sepasukannya di Haas, Kevin Magnussen.

Pierre Gasly, yang akan berpindah ke pasukan Red Bull tahun hadapan, menduduki tempat kesembilan untuk Toro Rosso dan Marcus Erisson melengkapkan senarai 10 penamat teratas perlumbaan.

Perlumbaan bermula penuh dramatik dengan pelanggaran pada pusingan pertama melibatkan Nico Hulkenberg dari Renault dan Fernando Alonso dari McLaren, dengan kereta beliau melambung dan terkena kereta pemandu Sauber, Charles Leclerc.

Tiada pemandu mengalami kecederaan tetapi kemalangan menyebabkan mereka gagal meneruskan perlumbaan dengan Daniel Ricciardo, pemandu kedua Red Bull dan Kimi Raikkonen, rakan sepasukan Vettel, juga terlibat dalam pelanggaran itu.

Hulkenberg membrek agak lewat dan merempuh tayar kereta Alonso, menyebabkan keretanya melambung melepasi kereta Leclerc, dengan pelindung halo berjaya mengelak tayar belakang mengenai Leclerc.

Selepas sesi ujian masa kelayakan diselubungi hujan, perlumbaan bermula dengan cuaca kering di mana suhu berada pada 17 darjah Selsius dan suhu litar pada 29 darjah, hampir sempurna untuk penonton dan pasukan.

Hamilton bermula dengan baik dan berjaya menangani cabaran Vettel di selekoh pertama sebelum perlumbaan terganggu dengan kemalangan, menyebabkan Kereta Keselamatan dimasukkan selama empat pusingan tetapi tidak lama selepas kemalangan, Vettel memintas Hamilton ketika beliau cuba memasuki selekoh.

Apabila perlumbaan disambung semula, Vettel menangani asakan Hamilton dan kemudian berjaya menjarakkan kedudukan sehingga tiga saat pada pusingan ke-14.

Kedudukan semakin selesa buat Vettel, walaupun Hamilton menukar tayar lebih lembut.

Situasi tidak berubah selepas Vettel menukar tayar dan walaupun jurang masa berjaya dikurangkan, Vettel tetap memandu cemerlang sehingga ke garisan penamat. — AFP

Advertisement