Anda di sini

Sabah mahu menang ke atas Selangor

Advertisement
JELIUS ATING
JELIUS ATING

KOTA KINABALU: Sabah boleh mengelak bergelut sehingga ke perlawanan terakhir untuk layak ke suku akhir Piala Malaysia jika menang ke atas Selangor pada saingan peringkat Kumpulan D di Stadium Shah Alam malam esok (Selasa). 

Sehubungan dengan itu, ketua jurulatih Jelius Ating mahu anak didiknya berjuang habis-habisan dapatkan mata penuh. 

"Sekiranya kita menang esok, kita hanya perlukan satu mata daripada baki dua perlawanan untuk mara ke suku akhir. 

"Saya harap pemain mengambil peluang ini sebaik mungkin. Saya tidak mahu kita terpaksa bergelut sehingga  aksi terakhir untuk mengetahui sama ada layak atau tidak (ke suku akhir) kerana ianya mungkin membawa padah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini (Isnin). 

Jelius berkata, bukan memandang mudah walaupun pasukan bergelar The Red Giant itu mengalami tiga kekalahan berturut-turut sebelum ini tetapi ia adalah tugas yang perlu Sabah galas. 

"Seperti kita sedia maklum, Selangor adalah sebuah pasukan yang disegani oleh mana-mana pasukan terutama apabila mereka beraksi di halaman sendiri. 

"Kita kena berhati-hati dengan mereka kerana sudah pastinya mereka dahagakan kemenangan selepas tewas tiga perlawanan sebelum ini. Apa pun, kita ada tugas yang perlu dilaksanakan dan saya yakin jika pemain fokus dan berusaha sebaik mungkin, mereka mampu menundukkan Selangor di Shah Alam," katanya. 

Jelius membayangkan akan mengekalkan kesebelasan utamanya sebelum ini kecuali Randy Baruh yang akan masuk menggantikan Leopold Alfonso Otong. 

"Saya juga masih belum dapat menggunakan khidmat pemain import iaitu (Keisuke) Ogawa untuk aksi esok kerana dia masih mengadu kakinya sakit, kita tidak mahu mengambil risiko untuk menurunkannya," katanya. 

Sabah kini di kedudukan kedua selepas mengumpul tujuh mata dari tiga perlawanan  pusingan pertama dengan rekod dua menang dan satu Seri. 

Kemenangan itu termasuk ke atas Selangor pada perlawanan terakhir pusingan pertama minggu lalu di mana Sabah menang 2-1.

Mendahului carta membabitkan empat pasukan itu adalah Pahang yang mengumpul lapan mata tetapi telah bermain empat perlawanan. 
PKNP FC di kedudukan ketiga dengan empat mata juga selepas empat perlawanan manakala Selangor di tangga tercorot tanpa sebarang mata pada pusingan pertama. 

Kumpulan D
                       P M S K J B MT
1. Pahang      4  2  2 0  4 1  8
2. Sabah        3  2  1 0  4  2 7
3. PKNP FC   4  1  1 2  3  2  4
4. Selangor    3  0  0 3   1  7  0

  • oleh
  • Advertisement