Anda di sini

Penerjun muda taruhan Sarawak

Advertisement
 Rosatimah (tengah) bersama jurulatih dan atlet-atlet terjun Sarawak bakal menggegar Pusat Akuatik Amanjaya, Kompleks Sukan Ipoh pada SUKMA XIX Perak bulan depan.
BERSEDIA MENCABAR: Rosatimah (tengah) bersama jurulatih dan atlet-atlet terjun Sarawak bakal menggegar Pusat Akuatik Amanjaya, Kompleks Sukan Ipoh pada SUKMA XIX Perak bulan depan.

KUCHING: Sarawak menaruh harapan tinggi di bahu penerjun-penerjun muda untuk mengibarkan cabaran dalam acara terjun pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA XIX) Perak bakal berlangsung di Pusat Akuatik Amanjaya, Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh dari 17 hingga 21 September depan.

Ketua Jurulatih Sarawak, Rosatimah Muhammad berkata barisan atlet Sarawak dihantar kali ini rata-rata berusia antara 11 hingga 16 tahun dengan hanya dua atlet dari skuad SUKMA 2016 bertanding kali ini iaitu Ellisha Rania Abrial Rajagopal (13 tahun) dan Kimberly Bong (16 tahun).

Penerjun paling muda ialah Dayang Nursharzyra Awang Nasaruddin yang baharu berusia 11 tahun manakala Elvis Priestly Climent penerjun lelaki termuda berusia 12 tahun.

Kedua-dua atlet itu mendapat kepercayaan selepas beraksi cemerlang pada Kejohanan Terjun Remaja Antarabangsa Singapura 2018 yang berlangsung Julai lalu.

Pada kejohanan itu, Elvis berjaya memenangi satu pingat emas sementara rakan sepasukannya, Bertrand Rhodict menggondol dua emas dan satu perak manakala Ellisha Rania memenangi dua emas dalam kategori wanita.

“Kami hanya menghantar tiga penerjun wanita dan empat lelaki ke temasya SUKMA XIX di Perak dan mereka bertanding dalam empat acara iaitu platform 10m, 10m platform synchro, 1m springboard dan 3m springboard synchro untuk kategori wanita.

“Manakala dalam kategori lelaki atlet kita akan bertanding 1m platform, 3m platform, 10m platform, 3m platform synchro dan 10m springboard,” kata Rosatimah ditemui di sini semalam.

Antara pasukan yang dijangka mencuri tumpuan dalam acara terjun ialah juara bertahan kategori lelaki Selangor, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Pulau Pinang.

Pada SUKMA Ke-18, Sarawak memenangi dua pingat emas menerusi Kimberly dan Ellisha dalam acara 7.5m platform synchro wanita dan satu lagi emas dalam acara platform lelaki menerusi Slyvester Peter Gaing dan Carlysle Chan.

Slyvester dan Carlysle tidak bersaing pada SUKMA kali ini kerana had umur manakala bekas jurulatih terjun Sarawak, Xiao Xia telah kembali ke China.  

Justeru, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) melantik bekas pembantu jurulatih terjun, Rosatimah sebagai ketua jurulatih baharu manakala Wesley Inyau Wela sebagai jurulatih pusat pembangunan negeri.

Senarai penuh atlet bakal mewakili Sarawak dalam acara terjun ialah Enrique Maccartney Harold, 15, Bertrand Rhodict Lises, 13, Elvis Priestly Climent, 12, dan Awang Sharzan Nasrin Awang Nasaruddin, 13, (pasukan lelaki), Kimberly Bong, 16, Eilisha Rania Abrial Rajagopal, 13, dan Dayang Nursharzyra Awang Nasaruddin, 11 (pasukan wanita).

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Jinep dilantik sebagai Penolong Chef-de-Mission (ACDM) manakala Marwawi Malikie sebagai pengurus pasukan.

  • oleh
  • Advertisement