Anda di sini

Cahya Mata Sarawak umum prestasi kewangan bagi enam bulan pertama 2018

Advertisement

KUCHING: Cahya Mata Sarawak Berhad (CMSB - 2852) mengumumkan prestasi kewangannya bagi tempoh enam bulan pertama 2018 (IH 2018).

Kumpulan itu melaporkan hasil pendapatan berjumlah RM750.27 juta dan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM175.94 juta bagi 1H 2018, masing-masing peningkatan sebanyak 15 peratus dan 32 peratus, berbanding hasil bagi tempoh sama pada tahun sebelum itu (1H 2017) masing-masing sebanyak RM650.23 juta dan RM132.91 juta.

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATNCI) Kumpulan sebanyak RM130.60 juta untuk 1H 2018 adalah 57 peratus lebih tinggi berbanding PATNCI bagi 1H 2017 sebanyak RM83.30 juta.

Pendapatan sesaham (EPS) bernilai 12.16 sen berbanding 7.75 sen yang dilaporkan untuk tempoh enam bulan yang sama pada tahun lepas.

Peningkatan yang signifikan dalam prestasi kewangan Kumpulan khususnya disebabkan oleh penambahan dalam bahagian keputusan syarikat bersekutu iaitu: OM Materials (Sarawak) Sdn Bhd, SACOFA Sdn Bhd, KKB Engineering Berhad dan Kenanga Investment Bank Berhad.

Secara kolektif, PBT mereka melonjak sebanyak 1101 peratus kepada RM74.88 juta dalam 1H 2018 berbanding kerugian RM7.48 juta dalam 1H 2017.

Penyumbang utama kepada prestasi menakjubkan ini adalah perubahan mantap di OM Materials (Sarawak) di mana PATNCI sebanyak RM48.48 juta dicatatkan (untuk pegangan 25 peratus CMSB) berbanding kerugian sebanyak RM26.21 juta dalam tempoh sama pada 2017.

Prestasi mantap ini oleh OM Materials (Sarawak) dijangka akan diteruskan jika harga aloi mangan dan ferosilikon serta output pengeluaran dikekalkan pada tahap semasa.

Kumpulan itu juga mencatatkan sumbangan keuntungan yang mantap dari SACOFA di mana PBT sebanyak RM21.11 juta dicatatkan berbanding RM18.88 juta dalam tempoh yang sama pada 2017.

Bagaimanapun Bahagian Simen dalam Kumpulan itu melaporkan PBT lebih rendah sebanyak RM39.19 juta bagi 1H 2018 berbanding PBT sebanyak RM47.14 juta bagi 1H 2017 walaupun menyaksikan peningkatan sebanyak lapan peratus dalam hasil pendapatan.

PBT yang lebih rendah khususnya disebabkan oleh kos membaik pulih daripada penutupan penyelenggaraan kilang yang dijalankan di kilang ‘clinker’ pada bulan Januari dan Februari tahun ini.

Ini merupakan penutupan penyelenggaraan meluas yang pertama dijalankan oleh Kumpulan ini sejak ia mengambil alih kilang pada 2007.

Prestasi Divisyen itu mengalami impak yang lebih besar disebabkan oleh kenaikan harga ‘clinker’ import disebabkan oleh bekalan terhad dalam pasaran antarabangsa yang ingin dikurangkan oleh pengurusan menerusi sumber bekalan alternatif.

Mengulas mengenai keputusan kewangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CMSB Korporat, Dato Isaac Lugun, berkata peningkatan dalam prestasi kewangan bagi tempoh enam bulan pertama pada tahun ini khususnya disebabkan oleh perubahan mantap syarikat sekutu.

“Antara syarikat sekutu kami, OM Materials (Sarawak) Sdn Bhd dan sumbangan yang meningkat daripada syarikat sekutu lain termasuk SACOFA Sdn Bhd.

“Kami percaya strategi pertumbuhan kami untuk pelaburan strategik kami bagi memacu gelombang pertumbuhan seterusnya untuk CMS Group sudah mula membuahkan hasil.

“Matlamat strategi pertumbuhan ini adalah untuk memastikan perniagaan teras yang tradisional dan pelaburan strategik dapat menyumbang kepada usaha untuk menggandakan hasil pendapatan Kumpulan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang,” katanya.

Malah, beliau juga menjangkakan prestasi yang lebih baik daripada perniagaan teras yang tradisional iaitu simen dan bahan binaan walaupun berdepan cabaran operasi oleh dua divisyen termasuk penurunan gred keseluruhan baru-baru ini kepada sektor pembinaan oleh pelbagai gedung penyelidikan di Malaysia.

Beliau memberitahu pertumbuhan ini dijangkakan dari Lebuh Raya Pan Borneo, dengan momentum yang perlahan-lahan meningkat, dan dijangka memacu sektor pembinaan di negeri ini dalam tempoh 2-3 tahun akan datang.

Advertisement