Anda di sini

MOM optimis sasaran tujuh emas dicapai

Advertisement
 Mohamad Norza (kanan) mengadakan sidang media selepas melawat atlet kontinjen negara sempena temasya Sukan Asia ke-18 di Perkampungan Atlet Jakabaring, semalam. — Gambar Bernama
YAKIN: Mohamad Norza (kanan) mengadakan sidang media selepas melawat atlet kontinjen negara sempena temasya Sukan Asia ke-18 di Perkampungan Atlet Jakabaring, semalam. — Gambar Bernama

PALEMBANG: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria optimis kontinjen negara ke Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang mampu mencapai sasaran tujuh pingat emas.

Beliau berkata dengan berbaki sembilan hari lagi sebelum menutup tirai rasminya, kontinjen negara mampu merealisasikan impian dengan sekurang-kurangnya dua kilauan emas pada temasya itu yang dijangka hadir di Palembang.

Selepas hampir seminggu temasya sukan kedua terbesar di dunia itu membuka tirai, Malaysia hanya meraih sebutir emas (setakat 1 tengah semalam) yang hadir menerusi trio boling wanita negara; Esther Cheah, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi.

“Saya masih optimis kita boleh raih sekurang-kurangnya enam emas lagi dan perjuangan belum selesai. Kalau kita lihat di Palembang, kita boleh sekurang-kurangnya raih satu atau dua emas lagi dan berharap empat lagi atau lebih berbanding di Jakarta.

“Saya rasa kalau kita dapat dua lagi emas di sini masing-masing daripada boling dan sepak takraw, ia akan memudahkan kita untuk mencari empat emas di Jakarta,” katanya kepada media Malaysia di Perkampungan Atlet di sini semalam.

Norza turut berharap kejayaan atlet negara di kluster Palembang meraih sebutir emas dan dua perak, mampu mencetuskan semangat atlet negara yang berjuang di Jakarta meneruskan misi pemburuan pingat.

Buat masa ini, atlet di Jakarta berjaya meraih satu pingat perak menerusi Qabil Ambak dalam acara dressage (ekuestrian) dan gangsa daripada Yap Khim Wen untuk acara Poomsae wanita (taekwondo).

Ditanya adakah Malaysia masih mampu mencapai sasaran kedudukan 10 teratas pada temasya itu, beliau berkata pihaknya mahu mencapai sasaran tujuh emas terlebih dahulu.

Mengulas acara sukan yang gagal mempamerkan prestasi dijangkakan, beliau berkata ini bukan masa untuk menuding jari kepada sesiapa tetapi pihaknya perlu memastikan semangat kontinjen terus berada pada tahap yang tinggi.  

Mengenai sukan menembak, apabila tiada seorangpun atlet negara mampu melepasi pusingan kelayakan, beliau meminta Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) melakukan ‘post mortem’ mengenal pasti punca situasi tersebut.

“Saya ada berjumpa dengan pegawai dan atlet menembak, mereka meluahkan rasa  kecewa terutamanya apabila penembak kita mencatatkan keputusan rendah pada permulaan saingan.

“Kita harus lihat bagaimana untuk mengatasi kelemahan kita dan bagaimana pasukan lain seperti India yang berjaya melahirkan penembak handal pada usia muda,” katanya. — Bernama

Advertisement