Anda di sini

Musa perlu ikut undang-undang walaupun sakit

Advertisement
SHAFIE bercakap kepada para media selepas majlis itu.
SHAFIE bercakap kepada para media selepas majlis itu.

KOTA KINABALU: Walaupun dalam keadaan sakit, bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman tidak boleh dikecualikan daripada tindakan undang-undang.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, undang-undang perlu dijalankan dengan baik tanpa memberi 'kekebalan' kepada mana-mana individu.

Menurutnya, biarpun sakit, individu yang didapati bersalah masih perlu menjalani hukuman.

"Apa yang penting, undang-undang mesti dipatuhi dan tiada siapa yang terkecuali di negara ini untuk dikenakan tindakan sama ada Akta Imigresen, Akta Polis ataupun Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya bagi mengulas mengenai Musa.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena 100 hari pemerintahan kerajaan baharu di sini hari ini (Selasa).

Shafie berkata, Musa perlu mematuhi undang-undang di bawah Perlembagaan Negeri yang mengarahkan beliau untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam tempoh yang ditetapkan.

Ditanya adakah kerajaan negeri akan membenarkan tempoh lanjutan untuk Musa mengangkat sumpah, beliau menegaskan perkara itu termaktub dalam Perlembagaan Negeri dan ia tidak boleh sewenangnya diubah.

"Perlembagaan Negeri sudah menetapkan sesiapa yang gagal mengangkat sumpah dalam tempoh yang ditetapkan, secara automatik kawasan berkenaan diumumkan kosong dan pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan.

"Beliau (Musa) boleh balik ke negara ini tapi perlu dipastikan ia mengikut undang-undang kerana apa yang penting sekarang undang-undang perlu dipatuhi tanpa ada pengecualian bagi mana-mana individu," jelasnya.

Shafie berkata, setakat ini beliau tiada menerima sebarang laporan perubatan berhubung keadaan kesihatan Musa.

"Saya bukannya doktor dan tiada laporan perubatan yang saya lihat. Tetapi dari gambar yang tular jelas menunjukkan keadaan Musa di katil bersama tongkat.

"Orang yang benar-benar sakit tidak memerlukan tongkat tetapi kerusi roda dan rambut beliau juga masih hitam sebab orang sakit selalunya banyak uban," katanya secara berseloroh.

  • oleh
  • Advertisement