Anda di sini

QLASSIC bakal dilaksana untuk pembinaan jalan raya: Baru

Advertisement
 Baru Bian (kiri) menyerahkan anugerah ‘Archieving Qlassic Excellence’ kepada Ketua Pengurusan Kelestarian dan Kualiti Sime Darby Property Berhad Nor Azahar Md Hussain (dua kiri) pada Projek Perumahan Azalea 2 Fasa NU6B2 Nilai Impian Negeri Sembilan ketika Hari QLASSIC 2018 semalam. — Gambar Bernama
ANUGERAH: Baru Bian (kiri) menyerahkan anugerah ‘Archieving Qlassic Excellence’ kepada Ketua Pengurusan Kelestarian dan Kualiti Sime Darby Property Berhad Nor Azahar Md Hussain (dua kiri) pada Projek Perumahan Azalea 2 Fasa NU6B2 Nilai Impian Negeri Sembilan ketika Hari QLASSIC 2018 semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang melaksanakan Sistem Penilaian Kualiti  Dalam Pembinaan (QLASSIC) bagi projek sektor awam membabitkan pembinaan jalan raya di negara ini, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Beliau berkata, QLASSIC perlu dilaksanakan bagi memastikan kualiti jalan raya berada pada tahap  terbaik sekali gus mempertingkatkan prestasi agensi kerajaan yang terbabit dalam projek berkenaan.

“Pelaksanaan QLASSIC untuk pembinaan jalan raya masih di peringkat cadangan dan memerlukan  persetujuan anggota kabinet untuk dilaksanakan oleh semua agensi kerajaan.

“Ia tidak mustahil dilakukan kerana projek pembinaan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya misalnya berjaya memperoleh skor sebanyak 81 peratus dalam penilaian  QLASSIC tahun lepas (2017),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari QLASSIC 2018 di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Mohd Ali.

Pada majlis itu, 25 pemaju, 31 kontraktor dan 32 arkitek menerima pengiktirafan Hari QLASSIC 2018 serta 37 buah projek berjaya memperoleh skor QLASSIC melebihi 80 peratus.

Hari QLASSIC adalah acara tahunan untuk mempromosi penggunaan sistem penilaian kualiti selain mengiktiraf kejayaan penggiat industri pembinaan yang mencapai prestasi tinggi dalam mutu dan kualiti pembinaan bangunan.

Baru berkata penggunaan QLASSIC bagi projek pembinaan bangunan di Malaysia meningkat secara  konsisten setiap tahun di mana pada tahun lepas sebanyak 37 projek pembinaan mendapat skor 80 peratus dan ke atas berbanding 10 projek mencatat skor yang sama pada tahun 2013.

“Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) semalam akan membolehkan BPMB  menggunakan penilaian QLASSIC sebagai syarat dalam peminjaman dana dari BPMB untuk pembinaan projek bangunan.

“Selain itu, CIDB akan menjalankan penilaian QLASSIC ke atas projek BPMB termasuk menyediakan latihan bagi meningkatkan pengetahuan mengenai QLASSIC,” katanya.

Usaha CIDB mempromosi QLASSIC dengan mewujudkan lebih banyak kerjasama antara agensi kerajaan dan sektor swasta akan merealisasikan aspirasi Kementerian Kerja Raya menjadikan industri pembinaan lebih maju dan berdaya saing dari peringkat nasional hingga ke peringkat antarabangsa, kata Baru.

Sementara itu, Ahmad Tajuddin berkata kualiti projek pembinaan di negara semakin meningkat apabila pendekatan menggunakan QLASSIC mula dilaksanakan. — Bernama

“Inisiatif berkenaan adalah antara komponen penting kepada syarikat pemaju dan kontraktor tempatan mengukuhkan jenama serta mutu kerja. CIDB sedia membantu syarikat yang ingin mendapatkan latihan QLASSIC untuk meningkatkan kualiti projek pembinaan,” katanya.

Projek yang mendapat skor 80 peratus dan ke atas mencatatkan peningkatan sejak ia dilaksanakan dan CIDB merancang untuk meningkatkan taraf skor ini sebagai usaha mempertingkatkan kualiti hasil pembinaan bangunan dalam negara, kata Ahmad Tajuddin. — Bernama

Advertisement