Anda di sini

Ketua Buddha Korea Selatan dituduh rasuah, judi, langgar ikrar pembujangan

Advertisement
 Seoljeong bercakap ketika mesyuarat Perkumpulan Jogye di tokong Jogyesa di Seoul, Korea Selatan semalam. — Gambar Yonhap/AFP
TERPALIT SKANDAL: Seoljeong bercakap ketika mesyuarat Perkumpulan Jogye di tokong Jogyesa di Seoul, Korea Selatan semalam. — Gambar Yonhap/AFP

SEOUL: Mazhab Buddha terbesar di Korea Selatan mengarahkan ketua eksekutifnya untuk meletak jawatan semalam ekoran dakwaan yang semakin meningkat bahawa dia telah memalsukan kelayakan akademiknya, mengumpul kekayaan yang begitu banyak, dan melanggar ikrar pembujangan.

Undi tidak yakin 56-14 kepada Seoljeong, presiden Perkumpulan Jogye, oleh jawatankuasa pusatnya adalah yang pertama dalam sejarah yang bermula ratusan tahun – pertubuhan itu dipercayai diwujudkan pada abad ke-12.

Dengan lebih 3,000 tokong, 13,000 sami dan tujuh juta pengikut, ia mempunyai paling ramai pengikut di Korea Selatan dan amat berpengaruh di sebuah negara di mana agama masih menjadi kuasa sosial yang berpengaruh.

Namun ia sudah lama dihantui dakwaan rasuah dan permusuhan antara puak.

Ramai anggota biasa dan kumpulan sivik melancarkan protes untuk menuntut peletakan Seoljeong berhubung dakwaan berkenaan, dan seorang sami kanan yang mahukan reformasi dibawa ke hospital pada bulan ini selepas mogok lapar selama 41 hari di luar tokong Jogyesa, ibu pejabat perkumpulan itu di tengah Seoul.

Pemimpin spiritual perkumpulan itu Patriark Jinje turut menyeru agar Seoljeong dipecat dan aktivis Buddha, Cho Jae-hyun, berkata Majlis Ketua-Ketua seramai 24 anggota dalam perkumpulan itu dijangka akan meluluskan langkah itu pada minggu depan.

Tekanan telah meningkat ke atas Seoljeong sejak sebuah program televisyen mendedahkan pada Mei lalu bahawa dia mendakwa dalam autobiografinya bahawa dia telah lulus dari Universiti Kebangsaan Seoul yang berprestij, tetapi universiti tersebut menafikannya.

Siaran itu juga menyatakan dia melahirkan seorang anak perempuan yang melanggar peraturan pembujangan, dan memiliki pegangan hartanah yang besar walaupun meng-ambil ikrar kemiskinan.

Seoljeong, 76, memegang jawatan pada November lalu dan menafikan semua tuduhan, sambil menuduh “barisan lama” dalam Perkumpulan Jogye cuba merosakkan kempen reformasinya dengan memfitnahnya.

Penggal selama lapan tahun di bawah ketua sebelumnya Jaseung – yang menyokong pencalonannya dan dipercayai masih berpengaruh – turut dicemari dakwaan tentang rasuah, perjudian dan melanggar ikrar pembujangan.

Reformis telah menuntut perhimpunan besar-besaran sami-sami di tokong Jogyesa pada minggu depan untuk mendesak perubahan me-nyeluruh.

“Kami menuntut peletakan semua barisan lama, bukan hanya Presiden Seoljeong sahaja tetapi semua ahli jawatankuasa pusat untuk memberi laluan kepada reformasi dan demokrasi,” kata Kim Young-Kuk, selaku ketua Pergerakan Reformasi Agama Buddha, kepada AFP.

Puak Jaseung mahu me-ngorbankan Seoljeong untuk menangkis kritikan berhubung rasuah, katanya.

“Ia umpama cicak yang memotong ekornya sendiri untuk melepaskan diri daripada pemangsa.”

Pada 1994 Tokong Joygesa menjadi medan pertelingkahan ganas antara puak-puak sami yang bermusuhan untuk mengambil alih kuasa ke atas jawatan eksekutif dalam perkumpulan itu, dan ramai sami serta anggota polis rusuhan cedera.

Selepas keganasan itu, perkumpulan itu meluluskan perlembagaan reformasi tetapi Kim berkata kempen bagi perubahan “hangat-hangat tahi ayam”.

Satu tinjauan pada 2014 oleh Korea Gallup menunjukkan 22 peratus rakyat Korea Selatan menganggap diri sebagai pengikut Buddha, diikuti 21 peratus Protestan dan tujuh peratus Katolik. — AFP

Advertisement