Anda di sini

Pemandu wanita mabuk mengaku tidak bersalah rempuh mati empat lelaki

Advertisement

TAWAU: Seorang pemandu wanita mabuk yang menyebabkan kematian empat lelaki manakala seorang lagi cedera parah pada bulan lalu, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan memandu dalam keadaan dipengaruhi alkohol, di Mahkamah Majistret semalam.

Olivia Ching Oi Yun, 34, yang menghadapi dua pertuduhan pindaan itu, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ferhanshah Farene Mohd Ferdaus.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memandu dalam keadaan dipengaruhi alkohol yang banyak di dalam badan sehingga menyebabkan kematian dan cedera parah, kira-kira jam 1.20 pagi pada 8 Julai 2018 di Jalan Chong Thien Vun hadapan Pusat Komersial BDC (1Arena).

Kesemua mangsa yang maut ialah Hiew Nyuk Wei, 20, Clawence Wong Vui Kit, 21, Dicson Lim Kien Shing, 16, dan Chung Vui Chan, 21.

Bagi pertuduhan kedua, Ching didakwa melakukan perbuatan sama sehingga menyebabkan kecederaan kepada Ching Guang Xiong, 21.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000.

Tertuduh diwakili Peguam  Abdul Gani Zelika dan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan.

Mahkamah menetapkan 23 Ogos ini sebagai tarikh penyerahan dokumen dan jaminan RM4,000 berserta dua penjamin terhadap tertuduh dilanjutkan. — Bernama

Advertisement