Anda di sini

Berdalih elak dicekup

Advertisement
RAHMAN (tengah) bersama Bakri (kanan) meneliti ujin air kencing yang dilakukan di premis hiburan pagi tadi..
RAHMAN (tengah) bersama Bakri (kanan) meneliti ujin air kencing yang dilakukan di premis hiburan pagi tadi.

PENAMPANG: Dua wanita mendakwa minuman dimasukkan pil ekstasi oleh orang lain bagi mengelakkan ditahan sepasukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam satu serbuan di pusat hiburan di sini awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Sabah Joannes Yabin berkata kedua-dua suspek berumur 19 dan 22 tahun mendakwa tidak mengambil sebarang bahan terlarang semasa berada di dalam premis terbabit.

“Hasil ujian bagaimanapun menunujukkan kedua-dua suspek positif dadah jenis pil ekstasi sebelum dibawa ke Pejabat AADK Sabah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya suspek turut berdalih dan mengatakan minuman mereka dimasukkan pil terbabit oleh orang tidak diketahui. Bagaimanapun, helah mereka tidak diendahkan pasukan penguatkuasa.

Joannes berkata dua wanita itu adalah antara 19 individu termasuk 13 lelaki yang ditahan dalam serbuan Ops Perdana di beberapa kawasan termasuk Karamunsing, Likas dan Manggatal bermula 9 malam hingga 2 pagi tadi.

“Kesemua penagih positif syabu dan pil ekstasi itu disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Tambahnya operasi dijayakan seramai 23 anggota dan pegawai AADK serta sembilan penguat kuasa Majlis Daerah Penampang yang membuat pemeriksaan lesen perniagaan premis terbabit.

Turut hadir, Pengarah Pencegahan dan Kesedaran Awam AADK Malaysia Abdul Rahman Hamid, Pengarah AADK Sabah Bakri Bibi dan Ketua Pegawai AADK Kota Kinabalu Lawrence Galleh.

Sementara itu, Joannes berkata Ops Perdana itu dijalankan secara serentak di empat daerah di Sabah termasuk Sandakan, Tawau, Tuaran dan Labuan.

“Serbuan keseluruhan berjaya menahan seramai 101 individu dan 87 daripada mereka iaitu 77 lelaki dan 10 wanita ditahan kerana didapati positif dadah.

"Operasi akan dilakukan secara berterusan bagi membanteras kegiatan penagihan dadah di negeri ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement