Anda di sini

Ringgit dijangka terus lemah menjelang akhir tahun: RHB

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka terus lemah kepada 4.10 berbanding dolar AS menjelang akhir 2018 berikutan ketidaktentuan di peringkat luaran dan domestik.  

RHB Research Institute Sdn Bhd berkata, mata wang itu dijangka terus menyusut susulan dolar AS yang lebih kukuh, ketegangan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta ketidaktentuan dasar domestik.

“Seperti mata wang ekonomi pesat membangun yang lain, ringgit telah berada pada aliran lemah sejak beberapa bulan lalu berbanding dolar AS yang lebih kukuh apabila Rizab Persekutuan AS (Fed) menjadi lebih memihak kepada kadar faedah tinggi selepas kenaikan kadar kali kedua pada Jun,” katanya dalam laporan tinjauan ekonominya semalam.

Menurut laporan itu, Fed dijangka menaikkan kadarnya sebanyak dua kali bagi baki tahun 2018, dan tiga kali lagi pada 2019.

Ringgit turut menerima kesan daripada perubahan mengejut dalam kerajaan Malaysia susulan pilihan raya umum pada Mei yang membawa kepada peningkatan ketidakpastian dari segi dasar, katanya, dengan menyatakan pertukaran ketua syarikat berkaitan kerajaan juga dijangka membawa kepada kelembapan dalam aktiviti ekonomi untuk beberapa bulan akan datang.

“Ini, dengan inflasi yang berkurangan susulan pembekuan ke atas harga minyak RON95, menunjukkan Bank Negara Malaysia mungkin tidak mempunyai banyak ruang untuk menaikkan kadar dasar semalaman pada sepanjang tahun.

“Sehubungan itu, ringgit mungkin perlu menerima sebahagian besar daripada beban pelarasan disebabkan aliran keluar modal berikutan dasar yang ketat oleh bank-bank pusat utama, menjadikannya lebih lemah,” katanya.

Menurut laporan itu juga, jika keadaan itu berterusan, ringgit mempunyai potensi untuk melangkaui sasaran akhir tahun RHB pada 4.10, bagaimanapun ia dijangka tidak lemah dengan teruk.

RHB berkata harga minyak yang tinggi dapat mengurangkan impak ke atas ringgit dan membantu meningkatkan keyakinan pelabur dan menyumbang kepada hasil minyak yang lebih tinggi bagi kerajaan, selain lebihan akaun semasa dalam imbangan pembayaran.

“Aliran keluar modal daripada pasaran pendapatan tetap dilihat tidak seperti pada tiga insiden utama yang lalu yang membawa kepada aliran keluar modal besar-besaran.

“Ini akan meningkatkan pergerakan pasaran pendapatan tetap berikutan penyertaan pelabur asing pada tahap tinggi dalam pasaran ini,” katanya. — Bernama

Advertisement