KOTA KINABALU: Sebanyak 200 lagi penerbangan sewa khas tambahan dari China, Korea dan Jepun akan tiba di negeri ini sehingga Mac tahun depan.
Timbalan Ketua Menteri Christina Liew berkata, penerbangan itu tiba dari bandar Zhengzhou, Wenzhou, Nanning, Tianjin, Yi Wu dan Xianyang.
"Sekurang-kurangnya, 76 penerbangan sewa khas dijangka dari Korea Selatan, termasuk satu dari Pulau Jeju.
"Setakat ini, kami telah menerima 152 penerbangan sewa khas pada enam bulan pertama tahun ini atau tambahan 200,000 pelancong dari China dan Jepun ke Sabah," katanya pada sidang media selepas sesi perbahasan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15, di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, sehingga kini, sebanyak 196 penerbangan antarabangsa berjadual dari 21 bandaraya antarabangsa terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) setiap minggu.
Katanya, tahun lalu Sabah menerima sejumlah 215 penerbangan sewa khas dari China, Korea Selatan, Taiwan, Jepun dan Thailand.
"Bagi penerbangan yang dijadualkan, penerbangan langsung dari Bangkok ke Kota Kinabalu akan bermula minggu ini (Khamis), manakala penerbangan dua kali sehari dari Shenzhen dan Macau terus ke LTAKK dijangka bermula pada bulan November.
"Ketiga-tiga penerbangan itu adalah penerbangan dengan pesawat dari syarikat AirAsia," katanya.
Menurutnya, jumlah kedatangan pelancomng semasa ke Sabah sehingga Jun tahun ini adalah 1.891 juta, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 5.3 peratus berbanding tahun lalu.