Anda di sini

Tingkatkan aspek keselamatan di perairan pantai timur Sabah

Advertisement
ANDREW
ANDREW

KOTA KINABALU: Presiden Dewan Perniagaan Cina Bersatu Sabah (SUCCC) Tan Sri Andrew Liew Sui Fatt berharap kerajaan baharu akan melakukan yang terbaik dalam mempertingkatkan aspek keselamatan, terutamanya di pantai timur Sabah.

Beliau berkata penjenayah sering menceroboh perairan di Kunak, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan dalam percubaan menculik atau merompak.

Liew berkata SUCCC menyokong kepimpinan Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Datuk Seri Panglima Shafie Apdal dan beliau berharap pentadbiran baharu akan meneliti keselamatan di pantai timur negeri ini.

"Saya berharap pihak berkuasa yang berkenaan akan mengambil langkah-langkah yang efektif, termasuk melancarkan rondaan, untuk membendung kegiatan jenayah.

"Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja akan menjejaskan kedatangan pelancong ke Sabah, tetapi juga memberi impak negatif terhadap pelaburan asing di negeri ini, yang seterusnya menghalang pembangunan ekonomi negeri," katanya dalam satu kenyataan berikutan percubaan rompakan kapal tunda kira-kira jam 6 petang di perairan Tambisan pada Jumaat lepas.

Dalam kejadian itu, kapal tunda yang menuju ke Kuantan, Pahang dari Felda Sahabat membawa muatan minyak kelapa sawit, didatangi oleh kira-kira 10 individu menaiki bot. Bagaimanapun, semua kru bertindak pantas menyembunyikan diri di dalam dek berkunci dan menghubungi pasukan keselamatan. 

Sejurus itu, individu terbabit serta merta melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan keselamatan.

Dalam kenyataannya, Liew mencadangkan Polis Marin untuk meningkatkan rondaan di kawasan yang cenderung kepada kegiatan rompakan serta meningkatkan pengawasan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia.

Beliau juga mencadangkan penubuhan pos-pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di pulau-pulau strategik, menjalankan operasi khas untuk menangani pencerobohan lanun dan menyelaraskan Tentera Laut Diraja Malaysia dalam kerja rondaan. 

"Kerajaan kita juga harus berbincang dengan kerajaan negara jiran dalam rondaan bersama, serta melaksanakan sistem kebenaran masuk sempadan bagi kedua-dua negara untuk memantau pergerakan pendatang tanpa izin secara berkesan di Malaysia dan menyelaraskan prosedur imigresen," katanya.

  • oleh
  • Advertisement