Anda di sini

APMM selamat suami isteri mangsa bot pancing karam

Advertisement
 

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Lahad Datu menyelamatkan sepasang suami isteri selepas bot mereka karam di Perairan Pulau Nusa dekat Kunak, semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Leftenan Komander Radzil Allexender Raphael berkata, pasangan suami isteri berumur 53 dan 50 tahun itu ditemui pada pukul 8.05 pagi, dalam keadaan baik di Pulau Malundangan di sini.

"Kedua-dua mangsa menerima rawatan di Hospital Kunak," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada Sabtu lepas, Radzil berkata pusat operasi APMM Lahad Datu menerima maklumat insiden bot pancing karam pada pukul 11.57 malam di Pulau Nusa dekat Kunak.

"Operasi mencari dan menyelamat diaktifkan dengan menggerakan Bot ADAL17 ke lokasi kejadian.

"Namun operasi pencarian mengalami kesukaran ekoran keadaan cuaca laut bergelora dan hujan lebat sebelum dihentikan ," katanya sambil menambah  operasi disambung 6.30 pagi semalam.

Sehubungan itu, Radzil mengingatkan orang awam  sentiasa mematuhi langkah-langkah keselamatan semasa berada di laut.

Katanya, orang awam boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi pusat operasi APMM Lahad Datu di talian 089-885727 atau MERS 999 untuk sebarang kejadian kecemasan.

-- Bernama

Advertisement