Anda di sini

Unit khas kementerian Malaysia dan Indonesia ditubuhkan

Advertisement

JAKARTA: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) dan Kementerian Desa, Pembangunan Daerah Tertinggal dan Transmigrasi Indonesia (KDPDT) bersetuju untuk menubuhkan satu unit khas (desk) bertujuan memudahkan segala urusan berkaitan pelaburan syarikat kedua-dua negara.

Menteri MITI Darell Leiking dan Menteri KDPDT Eko Putro Sandjojo dalam mesyuarat dua hala semalam, bersetuju untuk menubuhkan ‘desk’ itu bagi mengurangkan kerenah birokrasi dalam hal berkaitan pelaburan dan perniagaan melibatkan syarikat kedua-dua negara.

“’Desk’ itu akan diselenggarakan oleh kedua-dua kementerian tersebut dan akan memudahkan segala urusan berkaitan masalah yang dihadapi usahawan kedua-dua negara dalam hal berkaitan pelaburan,” kata Leiking.

Leiking yang dalam lawatan kerja tiga hari ke Indonesia bermula kelmarin, semalam mengadakan perbincangan dua hala bersama Eko Putro, menteri Indonesia yang juga bertanggungjawab dalam hal berkaitan pelaburan Malaysia dan Indonesia.

“Penubuhan ‘desk’ itu juga akan menyelesaikan segala persoalan atau permasalahan termasuk hal di kementerian lain yang berkaitan, dan kita akan mempercepatkan segala urusan birokrasi,” kata Eko Putro.

Eko Putro berkata Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar bagi Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar di ASEAN.

“Perdagangan dua hala meningkat hampir dua kali ganda daripada AS$9.02 bilion pada 2006 kepada AS$16.89 bilion pada tahun lepas. Ini mewakili 4.1 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia.

Beliau berkata dari aspek pelaburan, syarikat Malaysia mempunyai pelaburan yang signifikan di Indonesia.

Pada tahun lepas, Malaysia merupakan pelabur kelapan terbesar di Indonesia, dengan pelaburan berjumlah AS$1.21 bilion.

Dalam tempoh 2008 hingga 2017, Malaysia telah melabur kira-kira AS$17 bilion di Indonesia.

Bagi tempoh sedekad yang lepas, pelaburan Malaysia di Indonesia adalah dalam sektor utama seperti perbankan, perladangan, pembinaan, jalan tol, tenaga dan telekomunikasi. — Bernama

Advertisement