Anda di sini

Lapangan Terbang Long Pasia perlu beroperasi semula

Advertisement
Perkampungan Long Pasia yang terletak 115 kilometer dari Pekan Sipitang mampu memukau pengunjung datang untuk menikmati keindahan alam serta kaya dengan budaya masyarakat Lundayeh. - Foto Bernama
Perkampungan Long Pasia yang terletak 115 kilometer dari Pekan Sipitang mampu memukau pengunjung datang untuk menikmati keindahan alam serta kaya dengan budaya masyarakat Lundayeh. - Foto Bernama

SIPITANG: Lapangan Terbang Long Pasia di sini yang ditutup sejak sekian lama perlu beroperasi semula bagi membantu meningkatkan permintaan produk pelancongan di Long Pasia, kata   Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob.

"Walaupun penerbangan itu mungkin tidak berjadual tetapi boleh melalui sewaan bagi memenuhi permintaan kerana Long Pasia kini sudah berubah wajah. Kawasan sudah sedia ada cuma hanya perlu diperbaiki. Dulu ada penerbangan seminggu sekali menggunakan pesawat jenis Twin Otter," katanya kepada Bernama.

Cadangan itu telah disuarakan kepada pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan diharapkan akan mendapat maklum balas yang positif, kata Yusof, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri  Sindumin, pada hari terakhir lawatan kerjanya ke beberapa kawasan di Sipitang sejak Jumaat lepas.

Dalam lawatan kerja itu, beliau menghadiri majlis kesyukuran dan sesi dialog di Kampung Meligan, kira-kira 90 kilometer dari pekan Sipitang, yang  dihuni suku kaum Murut, Lundayeh dan Kadayan. selain melakukan tinjauan ke SK Meligan.

Semalam, beliau mengadakan dialog bersama masyarakat Kampung Long Pasia yang terletak kira-kira 115 kilometer dari pekan Sipitang dan hanya boleh dikunjungi menggunakan kenderaan pacuan empat roda dengan masa perjalanan lebih tiga jam.

Sementara itu, Pegawai Daerah Sipitang Matlin Dullah berkata lapangan terbang itu mula beroperasi pada tahun 70-an sebelum ditutup pada tahun 90-an.

Beliau berkata ketika itu laluan penerbangan dari Kota Kinabalu ke Long Pasia dan Long Pasia ke Lawas yang akan mengambil masa kira-kira sejam perjalanan.

"Cadangan untuk membuka semula lapangan terbang itu sangat dialu-alukan kerana banyak produk pelancongan yang belum diterokai di Long Pasia yang sudah lama dikenali dalam peta pelancongan Sabah dan dunia," katanya.

Seorang penduduk kampung Bungan Ukong, 49, turut melahirkan  keterujaan jika kawasan itu bakal menjadi tumpuan lebih ramai pelancong.

Katanya dengan kedatangan pelancong, penduduk kampung boleh menjual hasil tanaman seperti beras, sayur-sayuran dan ikan air tawar yang segar hasil dari Sungai Meligan.

"Ikan balian jarang ditemui di tempat lain tetapi di sini masih ada dan jika ada rezeki kami akan jual kepada orang berkunjung ke sini," katanya.

-- Bernama

Advertisement