Anda di sini

Penyertaan program Outreach Sains Sekolah Bandar 2018 amat baik

Advertisement
 Murid-murid mendengar taklimat daripada guru terlibat pada program Outreach Sains.
PENERANGAN: Murid-murid mendengar taklimat daripada guru terlibat pada program Outreach Sains.

PROGRAM Outreach Sains Sekolah Bandar 2018 anjuran Jabatan Sains Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR) menerima penyertaan yang amat baik dengan disertai 716 pelajar tahun empat, lima dan enam daripada sekolah terpilih.

Program yang diadakan baru-baru ini mendapat kerjasama Yayasan Sarawak dan Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hassan sebagai tuan rumah melibatkan lima sekolah berdekatan termasuk SK (A) Datuk Haji Abdul Kadir sendiri selain SK Rampangi, SK Bandar Baru Semariang, SK Siol Kanan serta SK Semerah Padi.

Antara aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan termasuklah pameran sains, Landasan Inovasi, ‘Saya Perkasa’ dan ceramah teknik menjawab soalan UPSR.

Objektif utama program berkenaan termasuk menyediakan peluang dan pengalaman belajar sains secara menyeronokkan di luar daripada rutin pembelajaran dalam bilik darjah.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk memupuk minat murid-murid sekolah rendah terhadap sains. Semua ini adalah bertujuan menjadikan sains sebagai mata pelajaran yang diminati dan mampu menjana pemikiran aras tinggi melalui pendedahan kepada aktiviti berteraskan penerokaan serta pembelajaran berasaskan inkuiri.

 Guru mengiringi murid-murid mereka mendaftar menyertai program Outreach Sains anjuran IPGKTAR baru-baru ini.
DAFTAR: Guru mengiringi murid-murid mereka mendaftar menyertai program Outreach Sains anjuran IPGKTAR baru-baru ini.

Selain itu, program ini juga bertujuan memberi pendedahan kepada guru pelatih yang bertindak sebagai fasilitator dari aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai profesionalisme keguruan di samping memupuk jalinan kerjasama antara IPG Kampus Tun Abdul Razak dengan agensi-agensi luar khususnya sekolah-sekolah rendah di bahagian Kuching.

Dalam ucapan perasmian penutupan, wakil Pengarah IPGKTAR Dr Tay Soon Hiang menyeru agar kerjasama dan usaha kolaboratif antara IPGKTAR, Yayasan Sarawak dan sekolah-sekolah terlibat dapat diteruskan pada  masa akan datang.  

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua sekolah terlibat terutama kepada Guru Besar SK (A) Datuk Hj Abdul Kadir Hassan, Shazali Rosdi selaku tuan rumah, Yang Dipertua Persatuan Guru dan Ibu Bapa (PIBG) Zaini Ramli dan Yayasan Sarawak atas sokongan dan dorongan yang diberikan untuk menjayakan Program Outreach Sains Sekolah Bandar 2018.

Sebelum ini Jabatan Sains IPGKTAR lebih berfokus kepada sekolah-sekolah luar bandar iaitu SK Rebak, Sadong Jaya (2013), SK Orang Kaya Tanduk, Saratok (2014), SK Biawak, Lundu (2015), SK Hj Kelali, Sadong Jaya (2017) dan SK St Dominic Pitchin, Serian (Julai 2018).

 Kesemua murid terlibat beraksi merakam kenangan bersama pihak penganjur dan tetamu jemputan.
MENGGALAKKAN: Kesemua murid terlibat beraksi merakam kenangan bersama pihak penganjur dan tetamu jemputan.

Program Outreach Sains 2018 menyediakan pelbagai aktiviti termasuk pameran sains di mana murid-murid diberi peluang untuk berinteraksi dengan bahan secara ‘hands-on’ dan ‘minds-on’ di samping memahami konsep sains yang berkaitan. Selain itu, pelajar juga berpeluang mengikuti dua aktiviti inovasi iaitu Landasan Inovasi dan Saya Perkasa yang mana mereka diberi peluang untuk membina landasan dan struktur menggunakan bahan terbuang.

Kedua-dua akiviti ini merupakan aktiviti pertandingan yang bertujuan menguji kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), kreativiti, kemahiran penyelesaian masalah dan semangat berpasukan dalam kalangan pelajar.

Pengisian di sebelah petang ialah bengkel teknik menjawab soalan UPSR untuk semua murid tahun enam SK (A) Datuk Hj Abdul Kadir Hassan dan murid-murid sekolah jemputan. Ceramah disampaikan oleh Rokiah Bujang dari SK Merpati Jepang.

Pendedahan kepada teknik menjawab soalan tersebut sangat sesuai bagi murid-murid tahun enam sebagai persediaan awal mereka menjawab soalan-soalan berbentuk KBAT dalam peperiksaan UPSR dan seterusnya diharap dapat melonjak prestasi pelajar dalam peperiksaan UPSR.

  • oleh
  • Advertisement