Anda di sini

Kejohanan Kabaddi Terbuka Sarawak, sembilan pasukan bakal bersaing esok

Advertisement

KUCHING: Kejohanan Kabaddi Terbuka Sarawak Ke-3 yang akan diadakan pada Sabtu ini menyaksikan sembilan pasukan mengambil bahagian.

Anjuran bersama Persatuan Kabaddi Sarawak, Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), kejohanan itu akan berlangsung di Stadium Tertutup MBKS, Jalan Pending.

Menurut Ketua Jurulatih Sarawak, Ganisan Punisamy edisi kali ini dijangka menarik dengan pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut menghantar skuad lelaki dan wanitanya sementara Johor menghantar wakil lelaki sahaja.

“Bagi Sarawak, kita ada pasukan A yang diwakili pemain senior lelaki dan wanita manakala pasukan B menyenaraikan pemain remaja lelaki termasuk wanita.

“Setakat ini, enam pasukan yang bertanding dalam kategori lelaki ialah Kuala Lumpur, Johor, Sarawak A, Sarawak B, Young Predator dan Kuching Stallions.

“Manakala peserta dalam kategori wanita ialah Kuala Lumpur, Sarawak A dan Sarawak B,” katanya semalam.

Menurut beliau, pasukan lelaki Kuala Lumpur akan dibarisi pemain senior dan remaja memandangkan atlet terbaik mereka sedang menjalani latihan berpusat untuk menghadapi kempen Sukan Asian Jakarta pada bulan ini.

“Jemputan telah dihantar kepada semua negeri namun mereka tidak datang kerana kurang sokongan dari majlis sukan negeri masing-masing.

“Kita juga turut menjemput beberapa sekolah seperti SMK Matang Jaya, SMK Green Road, SM Agama Tunas, Sekolah Menengah Seni dan SMK St Teresa namun belum menerima maklum balas disebabkan 11 Ogos ini adalah hari ganti persekolahan,” jelas Ganisan lagi.

Pertandingan diadakan mengikut format dua kalah mati untuk kategori lelaki dan round robin bagi kategori wanita.

Peminat kabaddi dipelawa untuk menyaksikan perlawanan di Stadium MBKS dengan kemasukan adalah percuma.

Advertisement