Anda di sini

Eropah ‘gersang dan terbakar’

Advertisement
 Gambar serahan European Space Agency (ESA) pada 7 Ogos menunjukkan Sungai Rhine mengalir menerusi kawasan terjejas oleh kemarau dan kebakaran belantara di seluruh Jerman dan bahagian tengah Eropah seperti dilihat dari Stesen Angkasa Antarabangsa pada 6 Ogos. — Gambar Alexander Gerst/AFP
KERING KONTANG: Gambar serahan European Space Agency (ESA) pada 7 Ogos menunjukkan Sungai Rhine mengalir menerusi kawasan terjejas oleh kemarau dan kebakaran belantara di seluruh Jerman dan bahagian tengah Eropah seperti dilihat dari Stesen Angkasa Antarabangsa pada 6 Ogos. — Gambar Alexander Gerst/AFP

LISBON: Gelombang haba yang begitu panas di Eropah mengorbankan sembilan orang dalam masa seminggu di Sepanyol, kata pihak berkuasa kesihatan kelmarin, manakala suhu panas menghidupkan kebakaran belantara di negara itu dan negara jiran Portugal di mana kebakaran besar mengelilingi sebuah bandar peranginan.

Sinaran matahari dan suhu yang hampir memecah rekod selama berminggu-minggu telah menyebabkan kemarau dan menyaksikan hutan yang kering kontang dijilat oleh kebakaran belantara dari Laut Mediterranean ke Bulatan Artik, dalam apa yang ramai bimbang mungkin keadaan normal yang baharu di rantau itu dalam era perubahan iklim.

Kesan dahsyat daripada gelombang haba itu dapat dilihat dari angkasa lepas, menurut gambar beberapa kawasan landskap kering yang diambil oleh angkasawan Jerman Alexander Gerst dari Stesen Angkasa Antarabangsa.

“Selepas terbang malam selama beberapa minggu, saya dapat mengambil gambar pertama bahagian tengah Eropah dan Jerman pada waktu siang. Pemandangan itu mengejutkan. Segalanya yang sepatutnya hijau adalah kering dan coklat,” kata Gerst dalam Twitter.

Sepanyol dan Portugal mencapai suhu tertinggi pada hujung minggu lepas, apabila suhu mencecah 46.6 darjah Celsius di El Granado di Sepanyol dan 46 darjah Celsius di Alvega, Portugal, menurut Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO).

Walaupun waktu panas yang berbahaya ini dijangka akan reda di beberapa baha-gian di barat Eropah dalam masa beberapa hari akan datang, anggota bomba di Sepanyol dan Portugal masih berusaha untuk membendung kebakaran belantara yang melanda kawasan selatan.

Di wilayah percutian se-latan Portugal, penduduk dan pelancong telah dipindahkan dari sekitar sebuah bandar peranginan Algarve sementara kru bomba berusaha unuk memadamkan kebakaran belantara yang sudah membara selama berhari-hari dan mencederakan 30 orang, seorang dengan serius.

Ratusan anggota bomba dan askar menggunakan helikopter dan pesawat, selain bebe-rapa ratus kenderaan, untuk memadamkan kebakaran di sekitar bandar pergunungan Monchique ketika angin kuat meniup api, dan pakar meteorologi memberi amaran tentang ribut “signifikan” yang akan bertiup.

Di wilayah Valencia dalam negara jiran Sepanyol, kira-kira 2,500 orang dibawa dari rumah mereka pada waktu malam untuk lari dari api yang memusnahkan kira-kira 1,000 hektar, manakala kru bomba berusaha mengawal kebakaran. — AFP

Advertisement