Anda di sini

160 peserta terlibat Ekspedisi Saintifik Sungai Rawog

Advertisement
 Collin Goh menyampaikan cenderahati kepada Sam Mannan.
TERIMA KASIH: Collin Goh menyampaikan cenderahati kepada Sam Mannan.

SANDAKAN: Seramai 160 peserta memulakan Ekspedisi Saintifik Sungai Rawog yang dianjurkan bersama oleh KTS Plantation Sdn Bhd dan Jabatan Perhutanan Sabah bermula 8 hingga 18 Ogos ini.

Para peserta yang terdiri daripada Universiti Malaysia Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Taman-Taman Sabah, WWF dan beberapa agensi berkaitan akan mengikuti ekspedisi itu dalam dua kumpulan.

Pengurus Kawasan KTS Plantation Sdn Bhd Collin Goh yang mewakili Pengarah Urusan Kumpulan KTS Dato Henry Lau Lee Kong dalam ucapannya mengalu-alukan penyertaan para penyelidik dalam ekspedisi berkenaan.

Katanya, terdapat 32 penyelidik utama akan membuat penyelidikan meliputi akuatik, entomologi, mineralogi, tanah, avifauna, pelancongan dan sebagainya, sekali gus menjadikan ekspedisi saintifik itu adalah yang pertama disertai oleh bilangan saintis teramai.

“Kami berharap dengan ekspedisi ini akan memberi lebih kefahaman terhadap kawasan konservasi. KTSP percaya ekspedisi ini adalah kritikal untuk mengekalkan pengurusan hutan mampan dalam SLFR.

“Lebih banyak pengetahuan diperolehi mengenai hutan, membolehkan kita menguruskan hutan dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Konservator Hutan Datuk Sam Mannan berbesar hati dengan langkah KTS Plantation yang sentiasa berusaha untuk mengekalkan pengetahuan dalam pengurusan hutan mampan.

Beliau berharap kerjasama seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

 Collin Goh bersama Sam Mannan bergambar bersama peserta ekspedisi.
PESERTA: Collin Goh bersama Sam Mannan bergambar bersama peserta ekspedisi.

KTS Plantation mengambil inisiatif menganjurkan bersama ekspedisi saintifik itu untuk meneroka dan mendokumentasikan biodiversiti dalam Unit Pengurusan Hutan (FMU), yang kini diuruskan berdasarkan prinsip Pengurusan Hutan Mampan (SFM) dan sebagai keperluan terhadap Lesen Perjanjian Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA) dengan kerajaan negeri Sabah.

Matlamat utamanya adalah untuk memastikan sumber kayu akan dikekalkan berdasarkan hasil yang mampan, dengan komitmen untuk memelihara alam semula jadi dan biodiversiti dalam hutan.

Ekspedisi ini akan menjadi dokumentasi biodiversiti yang pertama di kawasan konservasi berkenaan.

Oleh itu, hasil kajian daripada ekspedisi ini akan memberikan maklumat penting untuk meningkatkan usaha pemuliharaan KTS di kawasan terlibat.

Untuk rekod, Sungai Rawog adalah sebuah kawasan konservasi meliputi 3,069 hektar di sepanjang lembah Sungai Rawog, yang merupakan koridor hidupan liar menyambungkan Hutan Simpan Deramakot dan IOI Sdn Bhd.

Ia terletak dalam Hutan Simpan Lokan Segaliud, Sandakan, dengan keluasan seluas 57,247 hektar dan kawasan hutan simpan berkenaan telah diuruskan oleh KTS Plantation sejak tahun 1993.

Advertisement