Anda di sini

MBAS tawar rebat cukai pintu sempena Hari Kebangsaan, Hari Malaysia 2018

Advertisement
 Kok Yew (dua, kiri) menyampaikan sijil pelantikan kepada Datuk Mohd Ziyad Ismail, 49, pada Majlis Angkat Sumpah Terima Pelantikan Anggota Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bagi penggal 2018-2019, di Dewan Persidangan MBAS, semalam. — Gambar Bernama
PELANTIKAN: Kok Yew (dua, kiri) menyampaikan sijil pelantikan kepada Datuk Mohd Ziyad Ismail, 49, pada Majlis Angkat Sumpah Terima Pelantikan Anggota Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bagi penggal 2018-2019, di Dewan Persidangan MBAS, semalam. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menawarkan rebat cukai pintu kepada pemenang yang berjaya menghiasi premis mereka penuh patriotik sempena Kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018 mulai 1 Ogos hingga 16 Sept depan.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Tan Kok Yew berkata bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku’, orang ramai bebas menggunakan kreativiti masing-masing agar premis mereka kelihatan menarik dan seterusnya menikmati rebat cukai pintu yang ditawarkan.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menerima surat pekeliling supaya premis di dalam PBT mereka menghiasi dan mengibarkan Jalur Gemilang dengan tema ‘Sayangi Malaysiaku’, katanya yang ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Terima Pelantikan Anggota Majlis Bandaraya Alor Setar, di sini, semalam.

Turut hadir Datuk Bandar Alor Setar Datuk Mohd Zohdi Saad.

Pada majlis itu, seramai 24 individu terdiri daripada komponen politik Pakatan Harapan (PH), badan bukan kerajaan (NG0) dan pegawai kerajaan yang dilantik (ex-officio) sebagai Anggota Majlis, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS)  bagi penggal 2018-2019.

Kok Yew berkata bagaimanapun, kadar rebat cukai pintu yang akan diberikan adalah bergantung kepada jumlah cukai pintu penerima tersebut dan jika bawah paras RM100 berkemungkinan akan diberi rebat 100 peratus.

“Orang ramai boleh menghubungi kakitangan di Bahagian Korporat MBAS pada talian 04-7203828 untuk mengetahui maklumat lanjut dan membuat penilaian,” katanya.

Selain itu, beliau menggesa supaya Jabatan Landskap Negara dapat mempercepatkan kerja-kerja pembangunan Projek Landskap Negara meliputi lapan kawasan di Alor Setar seperti di Bulatan Teluk Wanjah, Medan Tunku, Star Walk, Sungai Raja dan Jalan Sultan Badlishah.

Katanya berdasarkan perancangan, beberapa premis telah dikosongkan MBAS sejak Mac tahun lepas dan projek tersebut dijadualkan siap sebelum 31 Ogos ini bagi membolehkan perarakan hari kemerdekaan diadakan di kawasan itu.

“Kita minta kerjasama pihak kontraktor untuk mempercepatkan proses menyiapkan projek tersebut kerana ada kelewatan dan ini telah mengganggu lalu lintas serta urusniaga peniaga di sekitar kawasan itu terutama di Starwalk,” katanya. — Bernama

Advertisement