Anda di sini

Kurang pengetahuan punca ramai rakyat Malaysia kurang makan buah tempatan

Advertisement
 Murid-Murid Sekolah Kebangsaan Sena asyik menikmati buah rambutan pada Pelancaran Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan Peringkat Sekolah-Sekolah Negeri Perlis di Kangar, semalam. — Gambar Bernama
SEDAP: Murid-Murid Sekolah Kebangsaan Sena asyik menikmati buah rambutan pada Pelancaran Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan Peringkat Sekolah-Sekolah Negeri Perlis di Kangar, semalam. — Gambar Bernama

KANGAR: Kurang pengetahuan mengenai kelebihan khasiat buah-buahan tempatan antara punca golongan muda terutama pelajar sekolah kurang makan buah-buahan tempatan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Mansor Omar berkata walaupun kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan yang dianjurkan agensi itu dilaksanakan sejak 2013, tahap kesedaran makan buah-buahan berkenaan oleh golongan itu masih rendah.

“Kebanyakan golongan muda lebih minat makanan segera kerana mudah dimakan,” katanya kepada pemberita pada program Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan peringkat Perlis di Sekolah Kebangsaan (SK) Sena di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis Izmi Ismail dan Pengarah FAMA negeri Mohamad Paisal Amri.

Mansor berkata, FAMA giat menjalankan kempen tersebut ke seluruh negara dengan menyasarkan pelbagai peringkat rakyat bertujuan menggalakkan mereka makan lebih banyak buah-buahan tempatan.

Katanya, mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) setiap individu perlu makan 400 kilogram (kg) buah-buahan dan sayur-sayuran setahun.

Rakyat Malaysia pula hanya makan kira-kira 120kg buah-buahan dan sayur-sayuran setahun berbanding rakyat negara maju melebihi 150kg setahun, katanya.

Mansor berkata, kempen tersebut yang memasuki tahun kelima akan dilaksanakan lebih menyeluruh dan agresif untuk tempoh tiga tahun akan datang. — Bernama

Advertisement