Anda di sini

Kerajaan persekutuan catat hasil RM220.41 bilion pada 2017

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan persekutuan mencatatkan hasil sebanyak RM220.406 bilion pada 2017, iaitu meningkat sebanyak 3.8 peratus (RM7.985 bilion) berbanding 2016.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 yang dikeluarkan semalam, perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM262.579 bilion iaitu meningkat sebanyak RM10.411 bilion berbanding 2016.

“Kerajaan persekutuan mengalami defisit berjumlah RM40.321 bilion dengan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada paras tiga peratus,” katanya.

Menurut laporan itu, kerajaan persekutuan telah membuat pinjaman dari dalam dan luar negara berjumlah RM129.248 bilion bagi membiayai perbelanjaan pembangunan dan membayar balik hutang manakala hutang persekutuan berjumlah RM686.837 bilion dengan nisbah hutang kepada KDNK pada paras 50.8 peratus.

“Pembayaran balik hutang secara terus daripada akaun pinjaman disatukan adalah di luar mekanisme bajet kerajaan.

“Ini bermaksud bayaran balik hutang (prinsipal) tidak diperuntukkan dalam bajet tahunan kerajaan persekutuan yang dibentangkan di Parlimen dan tidak ditanggungkan dalam perbelanjaan mengurus tahun semasa,” menurut laporan itu.

Ketua Audit berpendapat memandangkan bayaran balik hutang tidak dibajetkan di bawah peruntukan mengurus, disyorkan agar anggaran pinjaman baharu yang akan dibuat bagi menampung bayaran balik prinsipal hutang turut dibentangkan di Parlimen semasa pembentangan bajet mengurus dan pembangunan.

“Kementerian Kewangan perlu membentangkan anggaran pinjaman baharu yang akan dibuat bagi menampung bayaran balik prinsipal hutang semasa pembentangan bajet mengurus dan pembangunan di Parlimen untuk meningkatkan ketelusan dalam pengurusan kewangan kerajaan,” katanya.

Selain itu, ia turut mengesyorkan agar rekod kewangan kerajaan persekutuan sentiasa lengkap dan kemas kini dengan melaksanakan semakan berkala di semua peringkat. — Bernama

Advertisement