Anda di sini

Malaria: Majikan diingat pastikan pekerja asing disaring

Advertisement
 Tuanku Syed Faizuddin (kanan) diiringi Dzulkefly  berkenan menyertai kayuhan basikal sempena Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan 2018 di Padang Besar, semalam. — Gambar Bernama
KAYUH BASIKAL: Tuanku Syed Faizuddin (kanan) diiringi Dzulkefly berkenan menyertai kayuhan basikal sempena Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan 2018 di Padang Besar, semalam. — Gambar Bernama

PADANG BESAR: Majikan terutamanya syarikat perladangan diingatkan supaya memastikan setiap pekerja asing mereka melalui prosedur saringan malaria semasa masuk ke negara ini bagi memastikan penyakit itu tidak terus menular di negara ini, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata walaupun bilangan kes malaria di negara ini telah  menurun, komitmen dan sokongan daripada semua pihak masih diperlukan bagi mencapai sifar malaria menjelang 2020.

“Masih terdapat risiko jangkitan semula di kawasan yang telah diisytiharkan bebas malaria disebabkan faktor kemasukan pekerja asing dari negara yang bermasalah malaria atau rakyat Malaysia yang bekerja di negara berisiko malaria.

“Pihak majikan antaranya bertanggungjawab menyediakan kelambu berubat kepada pekerja bagi melindungi daripada gigitan nyamuk dan memastikan pekerja menjalani pemeriksaan di klinik dengan segera jika mengalami gejala malaria,” katanya pada majlis perasmian Sambutan Hari Malaria Sedunia peringkat Kebangsaan di FELCRA Lubuk Sireh di sini, semalam.

Perasmian program itu disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Dzulkefly berkata penduduk yang terlibat dengan aktiviti berisiko di hutan seperti memburu dan pembukaan tanah baharu untuk pertanian juga perlu mengambil langkah-langkah pencegahan seperti menggunakan ubat penghalau nyamuk.

“Bagi penduduk yang bekerja di negara bermasalah malaria atau bekerja di kawasan hutan untuk jangka masa panjang, mereka perlu mendapatkan nasihat daripada pejabat kesihatan berhubung langkah pencegahan yang bersesuaian,” katanya.

Hari Malaria Sedunia adalah antara lapan sambutan Hari Kesihatan Awam Global yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang disambut pada 25 April setiap tahun bagi mengiktiraf usaha-usaha global dalam mengawal penyakit itu. — Bernama

Advertisement