Anda di sini

FAMA cadang buka tiga pusat proses isi durian beku

Advertisement
 Ahmad Ishak (dua kiri) bersama Anuar (kiri) menunjukkan produk-produk yang dihasilkan menggunakan pes durian di pusat pemprosesan dan penyimpanan isi durian sejuk beku di Sungai Petani, semalam. — Gambar Bernama
PRODUK DURIAN: Ahmad Ishak (dua kiri) bersama Anuar (kiri) menunjukkan produk-produk yang dihasilkan menggunakan pes durian di pusat pemprosesan dan penyimpanan isi durian sejuk beku di Sungai Petani, semalam. — Gambar Bernama

SUNGAI PETANI: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bercadang membuka tiga lagi pusat pemprosesan dan penyimpanan isi durian sejuk beku menjadikannya 15 pusat di seluruh negara sebagai usaha memperluaskan lagi pasaran makanan berasaskan durian di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata, tiga kawasan baharu itu di Prai, Pulau Pinang, serta di Sabah dan Sarawak di mana tumpuan utama ialah penghasilan pes durian (isi durian) yang sentiasa mendapat permintaan yang tinggi.

Sehubungan itu katanya, lebih banyak buah durian yang dibeli dari pekebun dapat diproses untuk dijadikan pes durian yang digunakan dalam penghasilan lebih 30 produk berasaskan durian.

Beliau berkata antara pusat pemprosesan dan penyimpanan isi durian sejuk beku yang telah beroperasi dan mampu menghasilkan kira-kira 60 metrik tan pes durian sehari ialah di Beseri, Perlis, Jerantut dan Raub (Pahang), Machang (Kelantan), Sungai Petani, (Kedah), Batu Kurau (Perak), Batu Pahat (Johor), Ara Damansara dan Hulu Langat  di Selangor.

“Kita akan dapatkan peruntukan RM600,000 untuk mewujudkan satu lagi pusat pemprosesan durian di Prai tahun depan dengan kemudahan dan fasiliti yang terbaik, prinsipnya sama dengan pusat pemprosesan yang lain iaitu kita beli durian dari pekebun, mencuci buah, mengopek, mengasingkan isi dan biji durian sebelum dijadikan pes durian.

“Pasaran kita juga lebih luas apabila kita mendapat pengiktirafan dari negara China untuk mengeksport pes durian serta ulas durian sejuk beku kerana mereka yakin dengan kaedah pemprosesan kita yang mementingkan aspek keselamatan dan kesihatan makanan,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan di pusat pemprosesan dan penyimpanan isi durian di sini, semalam.

Beliau juga berkata, sudah tiba masanya kerajaan memikirkan produk-produk yang berpotensi untuk dibangunkan kerana generasi masa kini telah mencipta pelbagai menu dan masakan menggunakan isi durian yang memenuhi selera mereka.

“Kita juga galakkan pihak swasta terlibat sama dalam industri ini, dan jangan ingat durian ini nak buat lempok dan tempoyak sahaja tetapi boleh digunakan untuk buat pankek, kek keju, yogurt, toping kek, aiskrim dan piza,” katanya.

Katanya, pasaran produk berasaskan durian juga semakin meningkat, pada 2016 nilai eksport sebanyak RM79 juta, meningkat kepada RM89 juta (2017) dan untuk tempoh Januari hingga Mac tahun ini sahaja RM67juta telah dicatatkan.

Sementara itu, Ahmad berkata, FAMA akan melancarkan program ‘Jimat Belanja Aidiladha’ seminggu sebelum perayaan itu dengan orang ramai boleh mendapatkan barangan keperluan mereka di 1,000 Pasar Tani FAMA pada kadar lima hingga 20 peratus lebih murah dari harga pasaran. — Bernama

Advertisement