Anda di sini

Shafie: Penduduk perlu berhati-hati

Advertisement

Jangan kerana kecuaian seorang, satu kampung tanggung derita


SEMPORNA: Masyarakat di seluruh penempatan negeri ini khususnya atas air dinasihatkan sentiasa berhati-hati agar tidak disebabkan kecuaian seorang sehingga menyebabkan satu kampung menanggung akibatnya.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, penduduk perlu menjaga keselamatan di setiap penempatan masing-masing khususnya dari segi kebakaran dan kesihatan.

SHAFIE bersama isteri Datin Seri Shuryani Shuaib menyerahkan bantuan peralatan sekolah kepada salah seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa kebakaran.
SHAFIE bersama isteri Datin Seri Shuryani Shuaib menyerahkan bantuan peralatan sekolah kepada salah seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa kebakaran.

"Jangan membakar sampah sesuka hati, menyambungkan wayar elektrik tidak mengikut peraturan...kalau terbakar semuanya hilang.

"Penduduk perlu mengambil iktibar agar kejadian kebakaran tidak berulang," katanya dalam ucapan ketika mengadakan lawatan kepada mangsa-mangsa kebakaran Kampung Air, di sini hari ini.

Ketika ditemui beliau menjelaskan usaha kerajaan untuk mengurus tadbir kawasan penempatan setinggan secara teratur di seluruh negeri memerlukan satu tempoh masa yang lama.

Katanya, usaha penyusunan itu bukan melibatkan jumlah kecil kerana masalah setinggan yang perlu diatasi turut melibatkan kawasan bandar utama.

"Pada hari ini contohnya ada beberapa dan mungkin lebih daripada 1,000 kampung menjadi setinggan, kalau kita tidak urus dengan baik, mungkin di masa depan ia boleh menjangkau jumlah 50,000.

"Oleh itu,  keselamatan dan kesihatan penduduk perlu dikawal dengan baik kerana sekiranya tidak diatasi ia boleh memberikan beban kepada rakyat dan kerajaan," katanya.

Shafie yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan mahukan rakyat tempatan tinggal dalam keadaan baik dengan mempunyai tanah masing-masing dan bukannya tinggal dalam setinggan.

SHAFIE (tengah)ketika melawat mangsa-mangsa kebakaran Kg Air Semporna.
SHAFIE (tengah)ketika melawat mangsa-mangsa kebakaran Kg Air Semporna.

Katanya, semua usaha itu memerlukan rancangan yang rapi dengan satu tempoh masa  yang lama.

"Saya juga telah mengarahkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan agar menyediakan kemudahan balai bomba kecil bagi mengawal kejadian kebakaran yang berisiko berlaku di peringkat pinggir sungai dan laut," katanya.

  • oleh
  • Advertisement