Anda di sini

Sembilan PTI, seorang penyeludup ditahan dalam Ops Khas Esscom

Advertisement
ANTARA yang ditahan dalam Ops Khas itu.
ANTARA yang ditahan dalam Ops Khas itu.

LAHAD DATU: Seramai 64 orang diperiksa dengan sembilan daripadanya ditahan pasukan keselamatan Kawasan Khas Pantai Timur (Esscom) dalam Ops Khas di tiga lokasi tumpuan pendatang asing di daerah ini, pada Jumaat.

Operasi bersepadu diadakan di sekitar kawasan Pasar Rakyat, Dataran Palma dan Bandar Wilayah bermula jam 7 pagi hingga 11 pagi.

Komander Esscom, DCP Datuk Hazani Ghazali berkata individu yang ditahan disyaki pendatang tanpa izin (PTI) kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua yang ditahan adalah lelaki berusia 17 hingga 54 tahun iaitu lapan warga Filipina dan seorang warga Indonesia," katanya.

Pada perkembangan operasi yang sama, seorang lelaki ditahan mengikut Akta Kastam 1967 dan merampas sebanyak 3,520 batang rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM1,120.

Hazani berkata, suspek berusia 47 tahun bersama barangan rampasan telah dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu untuk tindakan dokumentasi dan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk tindakan lanjut.

BARANGAN seludup yang dirampas.
BARANGAN seludup yang dirampas.

Mengulas lanjut, tumpuan operasi adalah untuk mengesan dan menangkap pendatang dan individu yang menjalankan aktiviti penjualan barangan seludup.

Operasi itu disertai seramai 75 anggota penguatkuasa terdiri Polis Diraja Malaysia,  Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perhutanan negeri, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Majlis Daerah Lahad Datu.

  • oleh
  • Advertisement