Anda di sini

U-topia kembali gegarkan industri muzik Iban dengan single baharu

Advertisement
 Kombinasi gambar U-topia tahun 2017 dan 1990.
TETAP ROCK: Kombinasi gambar U-topia tahun 2017 dan 1990.

SEBUAH kumpulan rock terkenal tanah air yang amat popular pada tahun 90-an dahulu, U-topia kembali menggegarkan industri muzik Iban apabila muncul dengan sebuah single baharu berjudul ‘Adat Urang Bepangan’.

Lagu tersebut yang kini sedang ‘meletup’ dan sering diputarkan di stesen-stesen radio tempatan telah menaikkan semula nama U-topia dalam kalangan peminat industri muzik Iban.

Menurut vokalisnya Afee, kumpulan mereka kini dianggotai oleh Erol sebagai gitar utama, Nuar (gitar kedua), Apis (drum) serta Wan (keyboardis) dan masih mengekalkan nama lama mereka iaitu U-topia.

“Kumpulan ini kami gelarkan U-topia 2017 di mana ia dianggotai oleh tiga orang baharu manakala sebelum ini dua anggota asal kami sudah pun meninggal dunia.

“Kenapa ia tahun adalah tahun lepas kerana kami disatukan untuk ‘menghidupkan’ semula U-topia yang sudah lama menyepi,” katanya kepada Utusan Borneo, baru-baru ini.

Afee berkata, sebelum ini iaitu pada tahun 2006 beliau bergerak secara solo dengan mengeluarkan lagu-lagu single pada setiap tahun.

Menurut Afee, antara lagu popularnya ialah ‘Maafkan Aku’ ciptaan Eddy Hamid manakala liriknya ditulis oleh Lin Majid yang popular dalam tahun 2012 dan pernah tercalon di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) bagi kategori artis lelaki popular pada tahun berikutnya.

“Pada tahun lalu, saya turut mengeluarkan single ‘Aku Sayang Kamu’ ciptaan Harry Khalifah yang turut popular di Semenanjung Malaysia.

“Setelah mengeluarkan lagu-lagu single solo maka tercetuslah niat di hati mengeluarkan single bersama kumpulan U-topia hinggalah kami berjaya mengeluarkan lagu single dalam Bahasa Iban ‘Adat Urang Bepangan’ ini,” katanya lagi.

Bercakap mengenai single itu Afee memberitahu, lagu tersebut adalah ciptaan Mahzan B manakala liriknya ditulis oleh Afee dan Lucy Mapang.

Menurutnya, lagu ‘Adat Urang Bepangan’ ini adalah sebuah lagu yang dialihkan bahasanya dari lagu ‘Dongeng Cinta’ single beliau sendiri sebelum ini.

“Lagu ‘Dongeng Cinta’ ini adalah pada tahun 2013 kalau tak silap saya. Namun atas permintaan peminat-peminat di Sarawak saya cuba melahirkan lagu Iban tetapi gagal kerana liriknya.

“Sehingga saya sering bertemu dengan Lucy Mapang ketika ‘show’ di Sarawak dan meminta pertolongannya untuk menulis lirik dalam bahasa Iban,” ujar beliau.

Jelasnya, hasratnya tercapai setelah Lucy bersetuju hingga lagunya diluluskan untuk siaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak setelah disemak dari segi mutu lirik, lagu, vokal dan sebagainya.

Afee memberitahu, muzik lagu tersebut dirakamkan di Quantize Studio di Jalan Ampang, Kuala Lumpur milik Burn Crossfire dan rakaman vokal dibuat di Projam Studio di Sibu milik Ajis The Crew.

Beliau berkata, lagu ‘Adat Urang Bepangan’ ini sama ada dari segi muzik atau melodinya adalah sesuai dengan citarasa orang Sarawak.

“Itulah serba sedikit mengenai perjalanan U-topia dan single kami ‘Adat Urang Bepangan’. Lagu tersebut mendapat sambutan yang cukup hangat ketika ini khususnya peminat-peminat lagu Iban di Sarawak,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada stesen-stesen radio tempatan kerana telah memutarkan lagu mereka hingga dapat diterima serta terus popular.

“Peminat kami boleh mengikuti perkembangan U-topia di laman sosial saya iaitu Afee U-topia, Afee U-topia II, U-topia Fan Club dan Afee U-topia Fan page.

“Mana-mana penganjur yang ingin mengundang saya ataupun U-topia ke majlis-majlis tertentu untuk persembahan bolehlah terus menghubungi saya di talian 017-6347268,” tambahnya lagi.

Lagu-lagu U-topia yang popular pada era 90-an ialah ‘Mithali Cintaku’, ‘Di Sini Pasti’, ‘Maya Percintaan’ dan ‘La O Be’.

U-topia lebih kepada genre muzik rock dan merupakan sebuah kumpulan yang sangat popular di tanah air pada suatu ketika dahulu.

  • oleh
  • Advertisement