Anda di sini

Wanita mengaku tidak bersalah pecah amanah RM102,401.30

Advertisement
 S. Anita (kanan) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen  selepas didakwa melakukan pecah amanah berjumlah RM102,401.30, empat tahun lalu, semalam.   — Gambar Bernama
DIDAKWA: S. Anita (kanan) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen selepas didakwa melakukan pecah amanah berjumlah RM102,401.30, empat tahun lalu, semalam. — Gambar Bernama

KUANTAN: Seorang bekas kerani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas 14 pertuduhan melakukan pecah amanah berjumlah RM102,401.30, empat tahun lalu.

Pengakuan S. Anita, 39, direkodkan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali sebaik sahaja pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa Malaysia.

Tertuduh yang beralamat di Bukit Setongkol di sini, didakwa melakukan kesalahan itu antara 24 Jun 2014 hingga 10 Julai 2015 di pejabat majikannya iaitu Syarikat Gilson Fire Sales & Services di sini.

Wanita bertubuh kecil itu didakwa melakukan kesalahan tersebut dengan menunaikan 61 keping cek milik syarikat itu ke dalam akuan Public Bank miliknya untuk kegunaan diri sendiri.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Fatinah Abu Bakar menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 untuk setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, Anita merayu supaya jumlah itu dikurangkan atas alasan menanggung orang tuanya.

“Saya sahaja yang bekerja untuk menjaga keluarga. Adik-beradik yang lain duduk jauh...tolonglah kurangkan jaminan saya,” katanya.

Siti Aminah membenarkan jaminan sebanyak RM112,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan sebutan kes pada 6 Sept untuk lantikan peguam. — Bernama

Advertisement