Anda di sini

Simbol penentangan Palestin dibebas

Advertisement
 Tamimi bercakap kepada wartawan sejurus dibebaskan dari penjara sambil ditemani (dari kanan) ibu dan bapanya di Nabi Saleh, Tebing Barat semalam. — Gambar AFP
SIMBOL PENENTANGAN: Tamimi bercakap kepada wartawan sejurus dibebaskan dari penjara sambil ditemani (dari kanan) ibu dan bapanya di Nabi Saleh, Tebing Barat semalam. — Gambar AFP

BAITULMAQDIS: Seorang remaja Palestin Ahed Tamimi meninggalkan penjara semalam selepas hukuman lapan bulan kerana menampar dua anggota tentera Israel, episod yang dirakamkan dalam video yang menjadikannya simbol tentangan bagi rakyat Palestin, menurut jurucakap perkhidmatan penjara rejim Israel.

Assaf Librati memberitahu, Tamimi, 17, dan ibunya, yang turut dipenjarakan gara-gara insiden tersebut, dibawa pihak berkuasa Israel dari penjara ke pos pemeriksaan ke Tebing Barat yang ditakluki di mana mereka tinggal.

“Mereka telah meninggalkan penjara,” menurut Librati.

Mereka dijangka tiba di pos pemeriksaan berhampiran bandar Palestin Tulkarm di Tebing Barat.

Kedua-duanya dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan oleh mahkamah tentera Israel selepas kejadian Disember lepas yang didakwa keluarga Tamimi berlaku di halaman rumah mereka di Nabi Saleh, Tebing Barat.

Video kejadian itu menular dan menyebabkannya dipandang sebagai seorang wira yang bangkit menentang penaklukan Israel.

Imejnya dilukiskan pada tembok pemisah Israel yang memisahkan Tebing Barat, presiden Palestin Mahmud Abbas memujinya dan media sosial dibanjiri kata-kata sokongan terhadapnya.

Namun bagi Israel, Tamimi digunakan keluarga aktivisnya sebagai gadaian dalam provokasi yang disengajakan.

Mereka menunjuk kepada siri insiden sebelum ini melibatkannya, dengan gambar-gambar lama dia berdepan anggota tentera yang dikongsikan secara meluas dalam talian.

Ramai peneroka haram Yahudi turut memuji sikap bertahan anggota tentera yang kekal tenang sepanjang kejadian, walaupun mereka menyatakan tindakan Tamimi sewajarnya mendapat respons lebih tegas.

Tamimi ditangkap pada awal pagi 19 Disember, empat hari selepas insiden, pada usia 16 tahun.

Selain ibunya Nariman, turut ditangkap sepupunya Nour. — AFP

Advertisement