Anda di sini

Semporna tuan rumah pertemuan Sasterawan Nusantara 8-11 Nov

Advertisement
JASNI menyampaikan cenderakenangan kepada Jaujan selepas kunjungan itu. Turut kelihatan Sitti  Rahmah (dua kiri) dan AJK BAHASA lain.
JASNI menyampaikan cenderakenangan kepada Jaujan selepas kunjungan itu. Turut kelihatan Sitti  Rahmah (dua kiri) dan AJK BAHASA lain.

KOTA KINABALU: Semporna menjadi tuan rumah pertemuan Sasterawan Nusantara yang ke 19 yang dijangka diadakan pada 8-11 November tahun ini.

Presiden Badan Bahasa Sabah dan Sastera (BAHASA), Datuk Jasni Matlani memberitahu bahawa pertemuan itu dijangka dihadiri oleh 150 peserta luar negara dan selebihnya penulis-penulis dari seluruh Sabah.

"Seramai 15 tokoh sastera Nusantara dijangka membentangkan kertas kerja dalam pertemuan itu," katanya semasa melakukan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri, Dato Dr Haji Jaujan Haji Sambakong di pejabatnya di bangunan Innoprise di sini minggu lalu.

Jasni berkata, pada kunjungan itu, Jaujan pada dasarnya bersetuju dan menyatakan komitmen kerajaan negeri bagi menjayakan pertemuan itu.

Katanya, Jaujan turut gembira dengan pemilihan Semporna sebagai tuan rumah, bukan sahaja mempromosi daerah itu dalam kalangan penulis Asia Tenggara, lebih penting lagi menjadikan daerah berkenaan sebagai salah satu dataran ilmu dan sastera yang penting di negeri ini.

"Beliau (Jaujan) juga mengharapkan agar lebih banyak buku tentang Semporna dapat dihasilkan selepas pertemuan itu," katanya.

Jasni yang juga penerima SEA Write Award 2015 berkata, BAHASA mengucapkan terima kasih kepada Jaujan di atas komitmen beliau dan kerajaan negeri dalam program sastera yang penting di peringkat Nusantara ini.

Beliau gembira apabila pemimpin prihatin dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam membantu membangunkan bahasa dan sastera di negeri ini.

Jika senario ini berterusan, Jasni yakin bahasa dan sastera akan terus menyerlah dan merakyat di Sabah.

Semasa kunjungan itu, Jasni turut bersama-sama dengan Timbalan Presidennya, Sitti Rahmah G, Ibrahim dan beberapa orang Ahli Jawatankuasa BAHASA.

Advertisement