Anda di sini

Usaha hidupkan gerakan anak muda Miri

Advertisement
 Matassan menemui penduduk ketika program kemasyarakatan.
DEKATI PENDUDUK: Matassan menemui penduduk ketika program kemasyarakatan.
 Matassan (lima kiri), Fikri (tiga) bersama Ahli Parlimen Belia dari Sarawak.
KENANGAN: Matassan (lima kiri), Fikri (tiga) bersama Ahli Parlimen Belia dari Sarawak.
 Matassan ketika mengagihkan sumbangan beras kepada golongan memerlukan.
PRIHATIN: Matassan ketika mengagihkan sumbangan beras kepada golongan memerlukan.
 Fikri menunjukkan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tentang projek aplikasi media yang baharu diwujudkan untuk kegunaan penduduk Bekenu dan Sibuti.
SAHUT CABARAN TEKNOLOGI: Fikri menunjukkan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tentang projek aplikasi media yang baharu diwujudkan untuk kegunaan penduduk Bekenu dan Sibuti.

PENGLIBATAN belia dalam aktiviti sosial dan kebajikan boleh dipupuk kembali walaupun semangat sukarelawan belia dilihat semakin kabur.

Pengerusi Persatuan Belia Miri (PBM) Matassan Rohani yakin dan percaya masyarakat Miri amat prihatin terhadap kesusahan dan keperluan masyarakat sekeliling.

Beliau berkata, mungkin mereka tidak tahu bagaimana untuk menyalurkan dan menemui pihak yang dapat menghidupkan semangat ini.

PBM katanya, setakat ini mempunyai beberapa rancangan dalam memartabatkan semula semangat sukarelawan.

“Kami juga akan membuka ruang dan peluang untuk pembabitan sepenuhnya di kalangan anak-anak muda dalam usaha memupuk nilai-nilai murni dan kemanusiaan.

“Pendaftaran akan dibuka setelah semua dokumen dikemas kini, demi pembangunan belia. Kita harus bersatu,” jelas Matassan.

TARIK MINAT BELIA

Matassan berkata, peringkat awal pembabitan dalam aktiviti belia dan sosial adalah pada pertengahan tahun 2013.

Program pertama beliau adalah Pesta Pantai yang dianjurkan menggunakan nama  syarikat.

“Dari situ, saya melihat pembabitan peserta dan agensi tidak meluas dan mungkin pandangan masyarakat terhadap saya lebih ke arah mencari keuntungan.”

Pembabitan beliau dalam pertubuhan bermula pada tahun berikutnya (2014) dengan penubuhan PBM melibatkan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Miri.

Bimbingan Pegawai Belia dan Sukan Miri ketika itu, Mohammad Shukeri Drahman telah meningkat pengetahuan ahli tentang konsep sukarelawan, kemasyarakatan dan kebajikan.

“Di sinilah bermula titik mula serta nilai-nilai murni lahir dari jiwa ditambah suntikan dorongan keluarga dan kawan-kawan membakar semangat saya untuk berkhidmat,” katanya.

Mengulas lanjut tentang PBM, Matassan berkata ia ditubuhkan atas dasar inginkan perubahan dalam setiap pelaksanaan program serta menarik minat anak muda dalam memartabatkan nilai-nilai murni dalam skop kesukarelawan.

Setakat ini pemilihan ahli jawatankuasa tertinggi dipilih dengan penuh berhati-hati kerana risau akan ada kekacauan serta gangguan negatif di kalangan ahli itu sendiri, jelasnya.

“Pengalaman dan komitmen penuh diperlukan oleh semua ahli supaya PBM dapat diteruskan serta memberi impak berpanjangan pada keseluruhan anak muda di Miri.

“PBM merancang beberapa cara bagi memperinci setiap aktiviti yang bakal dilaksanakan.

“Antaranya penubuhan beberapa biro seperti Biro Sosial, Sukan dan Kebudayaan, Biro Sosio Ekonomi, Biro Kemasyarakatan dan kebajikan, Biro Pendidikan, Biro Patriotisme dan Nasionalisme, Biro Pendidikan serta Biro Kerohanian dan Keagamaan,” katanya.

Fungsi biro-biro ini jelasnya, adalah satu cara bagi memudahkan penelitian dan perincian satu-satu keperluan masyarakat serta mekanisme pelaksanaan akan mencapai objektif sebenar.

“Sudah pasti peranan kami di PBM akan membantu dan mengutamakan masyarakat dalam setiap aspek keperluan tetapi berasaskan perlembagaan dan tidak menyalahi undang-undang, bukan hanya sekadar membantu golongan asnaf tapi sebaliknya merancang hala tuju anak muda dalam kepelbagaian keperluan kehidupan,” jelasnya.

Matassan dan rakan, Mohammad Fikri Ali masing-masing terpilih sebagai Ahli Parlimen Belia Malaysia kawasan Parlimen Miri dan Sibuti untuk penggal 2014 hingga 2016.

Kedua mereka bersama 11 belia lain yang terpilih dari Sarawak telah ditugaskan dalam jawatankuasa-jawatankuasa yang dibentuk.

Matassan terpilih untuk Jawatankuasa Kebudayaan, Sukan, Patriotisme dan Integriti sementara Fikri untuk Jawatankuasa Kerohanian dan keagamaan.

Pencalonan dan undian dibuat secara dalam talian oleh kalangan belia di Sarawak.

HILANG POPULARITI

Nama PBM semakin dikenali pada tahun 2014 hingga 2016 bukan sahaja di Miri tetapi juga di negara jiran Brunei Darussalam dan di Sabah.

Matassan berkata, sokongan anak muda ketika itu sungguh memberangsangkan sehingga mencapai keahlian 6,000 orang yang terdiri dari mereka yang berasal dari pelbagai bahagian di Sarawak tetapi bermastautin di Miri.

Program yang dianjurkan mendapat sokongan padu anak muda dari pelbagai bangsa dan agama serta kerjasama erat NGO lain.

“Kita juga berdepan masalah urus tadbir sehingga kesannya kita hilang sokongan ahli dan belia. Kegagalan melaksanakan tanggungjawab menyebabkan semua yang dibina mengalami kemerosotan dan kurang popular.”

Matassan berkata, populariti yang dimaksudkan bukanlah pada nama individu tetapi jumlah pengikut, penggerak dan faktor mudah didekati bagi tujuan saluran maklumat tepat dan mudah.

PENJENAMAAN SEMULA

Dipilih semula sebagai Pengerusi, Matassan mahu PBM bangkit semula dengan wajah baharu, ideologi yang lebih ke hadapan dan menolak pandangan-pandangan dan gerakan cara lama yang dipraktikkan sebelum ini.

Penjenamaan semula PBM turut diambil berat tetapi tidak akan melampaui batas sehingga terlihat seperti eksklusif, jelasnya.

Matassan berkata, PBM lebih kepada mencapai objektif sebenar di bawah perlembagaan yang telah termaktub.

“Kita meletakkan harapan tinggi kepada masyarakat di Miri untuk  terus menyokong gerakan anak muda dalam memenuhi kapasiti ahli sebagai sukarelawan.

“Kita tidak hanya mencari ahli semata-mata. Mereka diajak terlibat dalam program-program kemasyarakatan serta kebajikan. Penyertaan mereka juga diberi keutamaan di dalam setiap penganjuran program yang bakal dilaksanakan kelak,” ujarnya.
PBM bercadang menghidupkan semula aktiviti Pesta Pantai dengan pengisian pelbagai acara termasuk sukan agar untuk menarik penyertaan belia.

Selain itu, PBM juga akan memperkukuhkan kerjasama dengan pertubuhan lain untuk memperluaskan peranan selain menganjur aktiviti yang bukan sahaja memanfaatkan belia tetapi juga masyarakat menyeluruh.

Antara program yang dirancang pada 2019 ialah Beach Sport, Festival Automotive Festival Week oleh Biro Sosial Sukan dan Kebudayaan, School Of Politic (Pendedahan Patriotik dan Kenegaraan) oleh Biro Patriotik dan Kenegaraan, Ceramah Islamiah (Pembangunan Islam dan Belia Intelek), Fardhu Kifayah oleh Biro Kerohanian dan Keagamaan, Program Pendaftaran Sukarelawan dalam Kerja Kebajikan (Penjenamaan PBM), Program Latihan Sukarelawan, Khidmat Masyarakat, Store Asnaf, Tabung Kilat (Persediaan Bencana dan Sumbangan) oleh Biro Kebaijkan dan Sukarelaan, Latihan Pembangunan Ekonomi (Perniagaan) oleh Biro Sosio Ekonomi, Bicara Pemimpin dan Rakyat, Rancangan Pembangunan Belia Luar Bandar oleh Biro Patriotik dan Kenegaraan, Kempen Membaca oleh Biro Pendidikan, Kursus Memasak, Bakeri dan Pastri oleh Biro Pembangunan Wanita dan FB Live berkonsep Radio Talk Show oleh PBM.

Pelaksanaan melibatkan kerjasama pelbagai pihak iaitu jawatankuasa masjid, Jabatan Belia dan Sukan, Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Pejabat Daerah, Pustaka Negeri Sarawak Miri dan pertubuhan bukan kerajaan yang lain.

APA YANG BELIA MAHUKAN

Tumpuan utama PBM adalah memperkasa anak muda termasuk di luar bandar, mencari solusi mempertingkatkan ekonomi, membuka peluang pekerjaan dan membantu mereka dalam menyelesaikan kos sara hidup yang semakin meruncing dan bebanan hutang di usia muda.

Setiap pertubuhan yang berdaftar sudah pasti ada beberapa perkara dan isu yang perlu diketengahkan.

Perkara ini bukan demi meraih dan mempertingkatkan sokongan masyarakat terhadap pertubuhan tetapi sebaliknya memperjuangkan hak yang harus dinikmati sepanjang hidup.

PBM memperjuangkan dua perkara wajib. Pertama – Perumahan. Pemilikan kediaman murah melibatkan konsep sewa beli serta diberi kemudahan atau meniliti semula konsep pemilikan antara pembeli dan pihak bank.

“Sebagai contoh kita lihat perumahan mampu milik bernilai RM150,000 teres dua tingkat di negeri Melaka, rumah teres luas dan selesa RM150,000 di negeri Johor serta rumah pangsa di Johor Bahru bagi golongan anak muda yang bekerja di bandar dan memerlukan rumah selesa pada kadar RM150.00 sebulan.

“Kenapa kita tidak mampu sedangkan negeri Sarawak mempunyai keluasan tanah yang sangat besar,” jelasnya.

Kedua – Peluang pekerjaan. Matassan berkata, PBM tidak meletakkan sepenuhnya beban di bahu kerajaan negeri sebaliknya mencari solusi bagi membantu golongan anak muda yang tidak bekerja atau diberhentikan kerja kesan kegawatan ekonomi.

Antara jalan yang diambil ialah melatih dan mendidik golongan anak muda dalam membuka peluang pekerjaan melalui perniagaan dan rancangan ini berjaya jika ada kerjasama dari pelbagai pihak.

“Golongan yang tidak mempunyai pekerjaan janganlah berhenti usaha mencari kerja dan tidak memilih apa jua pekerjaan yang ada, sebaliknya timbalah pengalaman sebanyak mungkin demi membina pemikiran yang positif serta menjadi contoh kepada anak-nak muda yang lain,” ujarnya.

MENDEKATI BELIA

Matassan memberitahu, masalah sosial yang berlaku di kalangan belia disebabkan mereka gagal menilai dan mengawal pergaulan, sehingga menyebabkan tidak ada keterbatasan di antara perkara positif dan negatif.

“Kita tidak menyalahkan mereka atas masalah sosial yang berlaku. Sebaliknya apa tanggungjawab kita untuk membawa mereka ke arah lebih baik? Bagaimana kita ingin mengubah pemikiran mereka dan mengajak ke arah kebaikan?,” katanya.

Antara cara terbaik ialah memahami kehendak golongan tersebut dengan mendekati dan menjadikan mereka sebagai rakan.

Dari hubungan erat ini boleh dijadikan peluang menerap nilai-nilai murni dalam diri dan mengajak mereka terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan.

Timbalan Pengerusi dan Unit Penerangan PBM Mohd Fikri Ali berkata, asas  kesedaran dan kemajuan minda perlu dilakukan di peringkat akar umbi agar setiap bantuan serta pertolongan di dalam masyarakat dapat berjalan secara automatik.

Justeru katanya, mekanisme pergerakan perlu dilakukan secara teratur dan terancang bagi  memastikan setiap program mempunyai output yang bernilai.

“Kita sedang dalam peringkat melakar ‘blueprint’ kita sendiri untuk memastikan gerak kerja kita lebih baik dan strategik.

“Mewujudkan formula yang dapat membina punat ‘auto reaction’ dalam pemikiran masyarakat adalah salah satu cabang yang kami sedang usahakan dalam pergerakkan ini,” jelas Fikri.

PBM memerlukan lebih ramai golongan bijak pandai serta berkemampuan untuk menyertai pergerakan ini untuk mengukuh dan memperhebatkan peranan.

Beliau berkata, tanggungjawab sosial adalah tanggungjawab semua lapisan masyarakat dan umur.

“Tindakan yang cepat perlu kita usahakan untuk memastikan setiap keperluan serta permasalahan dapat diselesaikan secara bersama.”

  • oleh
  • Advertisement