Anda di sini

‘Bulan darah’ paling lama abad ini pukau pengkaji angkasa

Advertisement
 Gambar menunjukkan bulan penuh semasa gerhana ‘bulan darah’ berdekatan sebuah gereja Venzolasca di Pulau Corsica Mediterranean Perancis, semalam. — Gambar AFP
PALING LAMA DALAM SEJARAH: Gambar menunjukkan bulan penuh semasa gerhana ‘bulan darah’ berdekatan sebuah gereja Venzolasca di Pulau Corsica Mediterranean Perancis, semalam. — Gambar AFP

PARIS: Gerhana ‘bulan darah’ paling lama pada abad ini memukau pengkaji angkasa di seluruh dunia kelmarin, yang kebetulan berlaku ketika planet Marikh berada paling dekat sejak 15 tahun dalam pemandangan cakerawala yang mengujakan.

Ketika ‘teman’ setia Bumi perlahan-lahan bergerak di langit, orang ramai berhimpun di seluruh dunia untuk melihat fenomena itu yang amat jarang sekali berlaku.

Di tepi Tasik Magadi, 100 kilometer ke barat daya Nairobi, ibu negara Kenya, muda-mudi dalam komuniti Maasai melihat gerhana itu menerusi sebuah teleskop berkuasa tinggi yang disediakan oleh satu pasangan tempatan.

“Sebelum hari ini, saya sangka Marikh, Musytari dan planet lain ada dalam imaginasi saintis,” kata Purity Sailepo, 16, kepada AFP.

“Tetapi sekarang saya sudah melihatnya, saya boleh mempercayainya dan saya mahu menjadi seorang pengkaji bintang untuk memberitahu orang lain.”

Tidak seperti gerhana matahari, pemerhati tidak memerlukan pelindung mata untuk melihat pertunjukan yang amat jarang sekali berlaku ini.

Bagi kira-kira separuh dunia, bulan sebahagiannya atau sepenuhnya berada dalam bayang-bayang Bumi dari 1714 hingga 2328 GMT enam jam dan 14 minit pada keseluruhannya.

Tempoh bagi gerhana sepenuhnya dikenali sebagai “totaliti”, apabila bulan kelihatan paling gelap, adalah dari 1930 hingga 2113 GMT.

Pada waktu yang sama, Marikh berada dekat bulan di langit malam, mudah dilihat dengan mata kasar.

Ahli astronomi amatur di hemisfera selatan berada pada kedudukan terbaik untuk menyaksikan pemandangan yang unik itu, terutamanya di selatan Afrika, Australia dan Madagascar, namun ia juga kelihatan di Eropah, Asia Selatan dan Amerika Selatan.

Lebih 2,000 orang termasuk ramai kanak-kanak yang membawa teropong berkumpul di Tunis, ibu negara Tunisia.

“Saya harap gerhana ini akan membawa kegembiraan dan keamanan kepada kita,” kata Karima, 46, tanpa melepaskan matanya dari langit.

Bagaimanapun cuaca buruk menutup pertunjukan kosmik itu di beberapa bahagian di dunia.

Hujan ribu monsun yang berleluasa dan awan tebal menyembunyikan bulan di kebanyakan tempat di India dan negara jirannya, yang sepatutnya mempunyai pemandangan terbaik.

Demikian juga, pemerhati yang telah berhimpun di atas cenuram dan pantai di daerah Dorset, England, diselubungi kegelapan disebabkan langit yang mendung.

“I mengecewakan,” kata Tish Adams, 67, kepada AFP. “Saya mengambil beberapa gambar tetapi tidak ada apa-apa kecuali jalur warna merah jambu di langit.”

Sementara itu peminat bulan yang kecewa selepas mereka berkumpul di atas sebuah bukit di utara London menghiburkan diri dengan menyanyikan lagu hit penyanyi dari Wales, Bonnie Tyler, pada 1983 ‘Total eclipse of the heart’.

Mereka di Rio de Janeiro, Brazil, lebih bernasib baik, dan mereka mengambil gambar bulan merah di langit malam yang jelas dengan kamera dan telefon mereka.

“Saya rasa ia sangat cantik dan saya malah lebih menyukai planet Marikh, yang kita dapat liat betul-betul di sebelah bulan,” kata Talita Oliveira, 34.

Marikh kelihatan luar biasa besar dan terang, sekadar 57.7 juta kilometer dari Bumi pada orbit berbentuk eclipse di sekeliling matahari.    

Gerhana bulan penuh berlaku apabila Bumi berada pada posisi dalam satu garisan lurus di antara bulan dan matahari, menyekat cahaya matahari secara langsung yang biasa membuat satelit kita bersinar dengan warna kuning keputihan.

Bagaimanapun, apabila tiga jasad cakerawala itu berada pada satu barisan yang sempurna, atmosfera Bumi memecah cahaya biru dari matahari ketika membiaskan atau membengkokkan cahaya merah ke atas bulan, yang biasanya memberikannya warna kemerah-merahan.

Inilah apa yang memberikan fenomena itu nama “bulan darah”, tetapi Mark Bailey dari Balai Cerap Armagh di Ireland Utara berkata warna itu boleh jadi berbeza-beza.

Ia bergantung sebahagiannya kepada “betapa mendung atau telus bahagian atmosfera Bumi yang membolehkan cahaya matahari untuk sampai ke bulan”, katanya kepada AFP. — AFP

Advertisement