Anda di sini

Masyarakat Kayan perlu bersatu jika ingin maju

Advertisement
 Dennis menyampaikan hadiah kepada pemenang, Zoric Edward dan Rayan Brauk sambil disaksikan ahli jawatankuasa penganjur yang lain.
TAHNIAH: Dennis menyampaikan hadiah kepada pemenang, Zoric Edward dan Rayan Brauk sambil disaksikan ahli jawatankuasa penganjur yang lain.

MARUDI: Masyarakat Kayan di sini dan negeri ini amnya, tidak mempunyai pilihan, selain kekal bersatu jika mereka mahu membangun bersama kaum lain di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau mengingatkan bahawa masyarakat Kayan adalah kumpulan etnik minoriti, justeru mereka perlu bersatu dan kekal bersama khususnya dalam pembangunan yang melibatkan mereka.

“Pada masa yang sama, anda perlu mempunyai minda terbuka dan sentiasa mahu berubah untuk mencapai kemajuan serta berani bergerak ke hadapan bagi merebut peluang untuk meningkatkan standard ekonomi keluarga dan masyarakat Kayan amnya,” ujarnya. Dennis berkata demikian semasa berucap merasmikan Karnival Pertandingan Badminton Tertutup Orang Ulu anjuran Persatuan Kayan Sarawak (PKS) Cawangan Marudi di Dewan Serba Guna Good Shepherd Mission di sini, baru-baru ini.

Beliau dalam ucapannya juga mengingatkan masyarakat Kayan supaya menggunakan platform yang betul seperti persatuan mereka untuk bersuara dan menganjurkan pelbagai aktiviti bagi mengeratkan perpaduan dan hubungan baik serta kerjasama sesama sendiri.

Malah katanya, melalui platform persatuan yang ditubuhkan secara sah itu juga mereka dapat bersuara dan menyampaikan masalah serta keperluan termasuk berkaitan adat tradisi, budaya, hak dan sebagainya kepada wakil rakyat mahupun pemimpin mereka.

Mengenai aktiviti sukan pula, Dennis berkata persatuan seperti PKS turut memainkan peranan penting dalam menganjurkan program kecergasan seumpama itu, bagi meningkatkan kesedaran terhadap gaya hidup cergas dalam kalangan ahli persatuan.

“Pada masa yang sama juga ia bertindak sebagai platform untuk kita saling bekerjasama dan membentuk persefahaman serta semangat berpasukan dalam kalangan ahli dan masyarakat Kayan itu sendiri,” tambah beliau yang juga presiden PKS.

Sehubungan itu, Dennis mahu semua cawangan PKS di seluruh negeri bergiat aktif menganjurkan aktiviti sukan untuk ahli dan pada masa yang sama harus berbangga dengan keunikan etnik mereka.

Pertandingan badminton anjuran PKS Cawangan Marudi itu disertai 15 pasukan beregu dalam kategori lelaki dan lapan pasukan untuk kategori wanita.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi PKS Telang Usan Lah Emang, ahli exco seperti Kaunselor Dominic Nyurang dan Kaunselor Jok Ngau serta lebih 100 tetamu termasuk peserta yang mengambil bahagian.

Advertisement