Anda di sini

Gelombang haba bunuh 65 di Jepun

Advertisement
 Seorang wanita menggunakan kipas angin kecil untuk menyejukkan badannya di Tokyo semalam akibat gelombang haba ‘luar biasa’ melanda Jepun sejak awal bulan ini. — Gambar AFP
PANAS: Seorang wanita menggunakan kipas angin kecil untuk menyejukkan badannya di Tokyo semalam akibat gelombang haba ‘luar biasa’ melanda Jepun sejak awal bulan ini. — Gambar AFP

TOKYO: Gelombang haba “luar biasa” di Jepun telah membunuh sekurang-kurangnya 65 orang dalam masa seminggu, kata pegawai kerajaan semalam, dan agensi cuaca kini mengklasifikasikan cuaca yang memecah rekod itu sebagai “bencana alam”.

Dalam tempoh seminggu sehingga Ahad lepas, sekurang-kurangnya 65 orang mati kerana strok haba manakala 22,647 lagi dimasukkan ke hospital, Agensi Pengurusan Bencana dan Bomba menyebut dalam satu kenyataan.

Kedua-dua angka adalah “yang terburuk dalam sejarah bagi mana-mana minggu pada musim panas” sejak agensi itu mula merekodkan kematian yang disebabkan oleh strok haba pada Julai 2008, kata seorang jurucakap agensi kepada AFP.

Agensi Pengurusan Bencana dan Bomba semalam berkata seramai 80 orang sudah mati akibat haba yang berlaku sejak awal Julai, dan lebih 35,000 dimasukkan ke hospital.

Antara mereka yang maut adalah seorang kanak-kanak sekolah berusia enam tahun yang pengsan ketika dalam perjalanan pulang dari lawatan lapangan.

“Sementara gelombang haba yang memecah rekod terus menyelubungi negara, langkah segera diperlukan untuk melindungi nyawa kanak-kanak sekolah,” kata jurucakap utama kerajaan Yoshihide Suga kepada pemberita semalam.

Kerajaan berkata ia akan membekalkan dana untuk memastikan semua sekolah dilengkapi pendingin hawa sebelum musim panas seterusnya.

Tidak sampai setengah daripada sekolah awam di Jepun mempunyai pendingin hawa, dan jumlah adalah tinggi sedikit di tadika awam.

Suga berkata kerajaan juga akan menimbang untuk melanjutkan cuti sekolah musim panas pada tahun ini jika gelombang haba berlarutan.

Kelmarin, kota Kumagaya di Saitama di luar Tokyo mencipta rekod haba kebangsaan baharu, dengan suhu yang mencecah 41.1 darjah Celsius.

Suhu melebihi 40 darjah dicatatkan buat pertama kali dalam kawasan metro Tokyo, di mana kerajaan sedang mempromosikan Uchimizu, satu tradisi di mana air direnjis ke atas tanah, sebagai sebahagian daripada kempen ke-sedaran haba musim panas.

Keadaan sejuk sedikit semalam tetapi suhu masih jauh di atas paras biasa di kebanyakan tempat di negara itu, dan keadaan diramal tidak akan reda.

“Kita sedang memerhatikan tahap haba yang luar biasa di beberapa kawasan,” kata pegawai agensi cuaca Motoaki Takekawa lewat kelmarin.

Gelombang haba itu “membawa padah, dan kita mengiktirafnya sebagai bencana alam”, katanya kepada pemberita.

Agensi itu memberi amaran, kebanyakan tempat di negara itu akan terus dibakar dalam suhu 35 darjah atau lebih tinggi sehingga awal Ogos.

Pegawai telah menasihatkan orang ramai untuk menggunakan pendingin hawa, minum air yang cukup dan selalu berehat.

Musim panas di Jepun biasanya panas dan lembap, dan ratusan orang mati setiap tahun akibat strok haba, khususnya warga emas dalam masyarakat yang semakin menua di negara itu.

Gelombang haba itu menyusuli hujan memecah rekod yang memusnahkan beberapa tempat di barat dan tengah Jepun dengan banjir dan tanah runtuh yang mengorbankan lebih 220 orang.

Ramai orang di kawasan terjejas masih tinggal di pusat perlindungan atau rumah yang rosak dan bekerja di luar untuk membaik pulih kerosakan, yang meletakkan mereka dalam keadaan yang amat berisiko.

Cuaca yang memecah rekod telah menimbulkan semula kebimbangan tentang Oimpik 2020 di Tokyo, yang akan diadakan dalam masa dua tahun lagi pada Julai dan Ogos.

Gabenor Tokyo, Yuriko Koike, pada minggu ini berjanji cuaca panas akan diberi keutamaan yang sama dengan langkah untuk menangani terorisme.

“Ia sama penting kerana tujuannya juga adalah untuk melindungi nyawa rakyat,” katanya kepada pemberita, dan membandingkan musim panas di Jepun dengan “kehidupan dalam sauna”. — AFP

Advertisement