Anda di sini

SFA minta penganjur maklumkan aktiviti mereka kepada persatuan

Advertisement
 Kamurudin (duduk tengah) bersama Exco SFA 2018-2020 pada AGM di Sibu kelmarin.
TERAJU SFA: Kamurudin (duduk tengah) bersama Exco SFA 2018-2020 pada AGM di Sibu kelmarin.

KUCHING: Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Sibu (SFA), Dr Kamurudin Ahmed Junaidi menggesa mana-mana penganjur pertandingan bola sepak dan futsal di bahagian itu agar terlebih dahulu memaklumkan aktiviti mereka kepada persatuan tersebut.

Kamurudin menegaskan, ini membolehkan SFA membantu dari segi pengadilan, penganjuran, memberi khidmat nasihat, peminjaman bola dan sebagainya.

Menurutnya, setiap pengadil dan jurulatih juga diwajibkan untuk mendaftar dengan SFA.

“Kita tidak mahu setiap penganjuran menggunakan khidmat pengadil tidak berdaftar dengan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) atau SFA dan hanya menjadi pengadil untuk kepentingan peribadi,” katanya selepas dipilih semula sebagai Presiden SFA bagi tempoh 2018-2020 pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persatuan itu kelmarin.

Untuk itu, jelas beliau, SFA akan memperbanyak penganjuran kursus pengadil dan jurulatih sebagai usaha menambah jumlah pengadil dan jurulatih baharu di bahagian itu.

Katanya, SFA juga merancakkan program pembangunan bola sepa di Bahagian Sibu melalui pelaksanaan pebagai aktiviti yang telah dirancang.

“Ini termasuk menubuhkan akademi bola sepak untuk melahirkan pemain-pemain baharu yang boleh mewakili Sibu pada pelbagai kejohanan anjuran FAS.

“Visi dan misi saya adalah untuk membangunkan, menggalakkan serta mempromosi sukan bola sepak, futsal, bola sepak pantai, street soccer di Sibu sehingga ke peringkat negeri, negara malah antarabangsa.

“Ini termasuk mencari pemain-pemain, jurulatih, pengadil, pegawai teknikal serta psikologi sukan, pengurus dan pegawai pengurusan,” tambah beliau.

Menurutnya, SFA akan meneruskan penganjuran Liga Sibu yang dijangka tamat pada pertengahan September depan.

Katanya, kejohanan tersebut amat penting sebagai pentas untuk mereka mencari pemain-pemain berkaliber bagi mewakili pasukan Sibu.

“Kita amat mengalu-alukan sokongan daripada syarikat-syarikat korporat mahupun perseorangan terhadap persatuan dalam bentuk sumbangan dana atau peralatan.

“SFA juga akan mengadakan majlis makan malam pada bulan depan untuk mengumpul dana,” katanya.

Kamurudin menyandang semula kerusi nombor satu SFA selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan tersebut turut menyaksikan Mejar Moses Ripai dipilih sebagai timbalan presiden dan Mohd Safree Mohd Kassim sebagai naib presiden.

Sementara itu, ASP Kushairy Bujang dilantik sebagai setiausaha, Mohd Ali Moss sebagai bendahari dan lima exco lain.

Untuk rekod, Kamurudin mula aktif dalam bola sepak di Johor sekitar 80-an dan SFA mulai 90-an dengan membawa pasukan Sibu merangkul Piala Datuk Taib 1994 bersama Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapaee.

Advertisement