Anda di sini

NREB, JBPM pantau aktiviti pembakaran terbuka

Advertisement

Oleh Patricia Gari

KUCHING: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memantau rapat aktiviti pembakaran terbuka di negeri ini.

Kontroler NREB Peter Sawal berkata ia langkah pencegahan awal diambil kedua-dua agensi berkenaan bagi mengelak kebakaran hutan berlaku pada musim kering yang melanda Sarawak ketika ini.

“NREB bekerjasama dengan JBPM memantau aktiviti terutama pembakaran terbuka di tanah-tanah lot seperti di Sibu, Bintulu dan Miri.

“Bagi pihak NREB, kami telah menghentikan pengeluaran permit pembakaran terbuka dan semua permohonan kami KIV (dalam pemerhatian),” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Peter memberitahu, setakat semalam pihaknya telah menerima beberapa laporan pembakaran terbuka iaitu di Sri Aman serta Sibu dan siasatan terperinci sedang dilakukan.

Tambahnya, NREB tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang melakukan pembakaran terbuka tanpa permit.

“NREB juga memantau pola titik panas yang berlaku di seluruh negeri bersama-sama JBPM Sarawak supaya persiapan menghadapi sebarang kemungkinan dapat dirangka,” katanya.

Sementara itu Pengarah JBPM Sarawak Nor Hisham Mohamad berkata semua anggota dan logistik jabatan itu sudah bersedia untuk dikerah jika pembakaran terbuka yang besar berlaku.

“Kami bersiap sedia dari segi anggota dan logistik. Pada masa bekerjasama dengan NREB untuk memastikan ladang-ladang diselia sebaik mungkin.

“Kami juga memantau titik panas harian bagi mengenal pasti sebarang kebakaran yang berlaku pada skala besar dan lama,” katanya.

Nor Hisham menambah, JBPM Sarawak menerima 40 panggilan kes kebakaran sehari dan kesemuanya tidak melibatkan kawasan besar.

Justeru beliau menasihati orang ramai agar tidak memulakan pembakaran sewenang-wenangnya tanpa memaklumkan pihak berkuasa terutama melibatkan kawasan yang luas.

“Jangan bakar sesuka hati, cuaca yang kering ditambah angin kencang boleh memarakkan api sehingga merebak ke kawasan hutan,” tegasnya.

Setakat semalam portal rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan hanya satu titik panas dikesan di Sarawak iaitu di Miri manakala kira-kira 20 lagi dikesan di Kalimantan, Indonesia.

Jabatan Meteorologi meramalkan fasa Monsun Barat Daya yang melanda negara termasuk Sarawak bermula Jun lalu dijangka berakhir pada pertengahan September ini.

Sepanjang tempoh itu, angin akan bertiup secara konsisten dari arah barat daya dan lazimnya keadaan atmosfera menjadi lebih stabil sekali gus mengurangkan aktiviti perolakan.

Oleh itu, keadaaan cuaca panas dan kering dirasai di kebanyakan tempat di Malaysia tetapi disertai kejadian ribut petir pada kekerapan rendah.

Bahagian Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang Sarawak dijangka mencatat cuaca agak panas sehingga 34 darjah Celsius serta menerima jumlah hujan di antara 200mm hingga 250mm, kurang sedikit berbanding paras normal.

  • oleh
  • Advertisement