Anda di sini

Karatekas SUKMA Sabah menyerlah di Terbuka Thailand

Advertisement
SKUAD karate SKA menang dua emas, dua perak dan lima gangsa di Terbuka Thailand.
SKUAD karate SKA menang dua emas, dua perak dan lima gangsa di Terbuka Thailand.

KOTA KINABALU: Karatekas Sukan Malaysia (SUKMA) Sabah menyerlah dengan membantu skuad Persatuan Karate Sabah (SKA) merangkul dua pingat emas, dua perak dan lima gangsa pada Kejohanan Karate Terbuka Thailand 2018.

Ia adalah pencapaian di luar jangka kerana penyertaan SKA ke kejohanan yang berlangsung pada 20-22 Julai itu lebih kepada untuk memberi pendedahan kepada karatekasnya dan mereka hanya mensasarkan satu pingat emas.

Mereka bukan sahaja melepasi sasaran tetapi lebih menggembirakan, kedua-dua pingat emas dimenangi karatekas SUKMA, Pressy Misty Philip dalam kategori dan pasukan kata lelaki senior yang dianggotai Cleverence Carlos, Elreno Zeru dan Josvin Jase.

Pressy mengalahkan peserta tuan rumah Songklin Kewalin pada pertarungan akhir.

Sebelum itu Pressy mengalahkan Chotechoung Warintorn (Yaak Gym Thailand) untuk mara ke suku akhir di mana dia mengecewakan peserta Myanmar, Tine Chris seterusnya menyingkirkan peserta Persatuan Karate Shan Xi China, Wang Yixuan di separuh akhir.

Pasukan kata lelaki senior pula mengalahkan pasukan Persatuan Karate Shan Zi China pada pertarungan akhir.

Dua pingat perak yang dimenangi juga dari karatekas SUKMA, Arthuric Gedion Jiwin dalam acara kumite lelaki bawah 84kg dan pasukan kata wanita yang dianggotai Vellcarollyne Agustine, Alexandra Jacklya Darius dan Esther Bell Siaw Tze Ling.

Arthuric terlepas pingat emas apabila kalah di tangan peserta Nippon Ibraki Jepun, Kataoka Toshimitsu manakala pasukan kata wanita tewas kepada pasukan Myanmar A pada pertarungan akhir.

Pingat gangsa dimenangi Josvin kata individu lelaki junior, Muhammad Irfan Shah Mohd Fadli Shah (kata individu lelaki 12 tahun ke bawah), Lovelly Anne Roberth (kata individu wanita kadet), Cairola Cheverry Wong Yee Ying (kumite wanita 50kg ke bawah) dan pasukan kumite wanita yang diangotai Maychelle Roger Mool, Pressy, Cairola dan Celine Grace Aloysius Embon.

Irfan dan Lovelly adalah antara tiga daripada 20 karatekas yang dihantar SKA ke kejohanan itu bukan karatekas SUKMA.

"Kita menghantar 20 karatekas yang terdiri daripada 17 karatekas SUKMA dan tiga bukan karatekas SUKMA serta empat jurulatih dan seorang pengurus pasukan. Turut bersama adalah tiga ibubapa karatekas," kata Setiausaha Agung SKA, Julian Chin.

  • oleh
  • Advertisement