Anda di sini

Empat lelaki diberkas, disyaki pengedar dadah

Advertisement
 Lam (tiga kiri) bersama pegawainya menunjukkan pelbagai jenis dadah, cecair dipercayai ubat batuk serta barang kes lain yang dirampas ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Kuantan, semalam. — Gambar Bernama
DIRAMPAS: Lam (tiga kiri) bersama pegawainya menunjukkan pelbagai jenis dadah, cecair dipercayai ubat batuk serta barang kes lain yang dirampas ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Kuantan, semalam. — Gambar Bernama

KUANTAN: Polis Pahang memberkas empat lelaki disyaki pengedar dadah dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk 1.3 kilogram heroin dalam operasi berasingan di daerah ini dan Temerloh, minggu ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Lam Thiam Huat berkata tangkapan pertama melibatkan dua suspek berusia 26 dan 30 tahun pada jam 10.30 pagi Isnin lalu di Pekan Sehari Jalan Ibrahim, Lurah Semantan, Temerloh.

Kedua-duanya diberkas ketika berada di dalam sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dan pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemukan dadah jenis heroin yang disimpan di dalam satu beg plastik selain ganja seberat 1.18 gram dan 4.5 liter ubat batuk.

“Semua dadah itu dianggarkan bernilai RM40,861.40,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, semalam.

Lam berkata suspek yang masing-masing bekerja sebagai buruh ladang dan pembantu hotel itu kemudian membawa polis ke sebuah rumah kosong di Taman Anggerik Utama, Bentong yang dipercayai dijadikan lokasi menyimpan dadah.

Katanya pemeriksaan di rumah tersebut menemukan ganja  seberat 769.85 gram, pil psiktropik (1.25 gram) dan ubat batuk (12 liter) dengan nilai keseluruhan lebih RM4,000 selain wang tunai berjumlah RM530.

“Suspek mengaku bekalan dadah itu diperoleh dari Kuala Lumpur dan dipercayai untuk dijual di sekitar Temerloh, Jengka dan Kuantan,” katanya.

Kedua-dua suspek kini direman sehingga 23 Julai ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Lam berkata tangkapan kedua melibatkan seorang lelaki berusia 21 tahun selepas polis menemui dadah jenis syabu seberat 103.20 gram bernilai RM15,480 di dalam kereta miliknya berhampiran sebuah pasar raya di Batu 11, Jalan Gambang di sini pada 4.45 petang Rabu. —Bernama

Katanya tangkapan itu membawa kepada penahanan suspek kedua berusia 28 tahun di sebuah  bengkel  motosikal di Taman Tunas Mahkota di sini pada hari sama.

“Suspek dipercayai mendapatkan bekalan dadah itu dari Kota Bharu, Kelantan untuk pasaran sekitar daerah ini. Kedua-dua suspek juga didapati mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan dadah dan jenayah,” katanya.

Lam berkata suspek kini ditahan reman sehingga 25 Julai ini dan siasatan juga dilakukan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. — Bernama

Advertisement