Anda di sini

Ibu bapa, penjaga diminta peka terhadap kesihatan anak

Advertisement
WARGA Pendidik SMK Tansau merakam gambar kenangan bersama tetamu kehormat.
WARGA pendidik SMK Tansau merakam gambar kenangan bersama tetamu kehormat.

PENAMPANG: Ibu Bapa atau penjaga murid diminta sentiasa peka tahap kesihatan anak dalam usaha mengekang penyebaran penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di negeri ini.

Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob berkata, bagaimanapun usaha membendung wabak itu memerlukan kerjasama semua pihak memandangkan ia semakin merisaukan pelbagai pihak.

"Tanggungjawab ini adalah tanggungjawab bersama khususnya daripada ibu bapa untuk memantau sekiranya ada tanda- tanda awal tentang penyakit ini agar segera menghantar anak mereka ke hospital untuk diperiksa.

"Jangan biarkan anak datang ke sekolah kerana ia adalah penyakit berjangkit, jadi saya meminta perhatian semua pihak untuk kita sama- sama mengekang wabak ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Penutupan Hari Koperasi Sekolah Kali ke-4 dan Ekspo Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau, di sini hari ini.

Bermula Januari hingga 14 Julai lepas, sejumlah 1,605 kes HFMD dilaporkan di negeri ini dengan purata sebanyak 58 kes berlaku setiap minggu.

Empat daerah dengan bilangan kes tertinggi secara kumulatif adalah daerah Kota Kinabalu iaitu sebanyak 398 kes, diikuti dengan Beaufort sebanyak 270 kes, Penampang (181 kes), dan Sandakan (165 kes).

Pada masa sama, beliau meminta pihak sekolah supaya ikut garis panduan yang sudah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekiranya sekolah berkaitan terpaksa ditutup sementara bagi menjalankan cuti kuarantin.

YUSOF (kanan) menunjukkan air mineral yang dihasilkan oleh warga SMK Tansau ketika mengunjungi bilik Koperasi sekolah berkenaan.
YUSOF (kanan) menunjukkan air mineral yang dihasilkan oleh warga SMK Tansau ketika mengunjungi bilik Koperasi sekolah berkenaan.

Katanya, kesemua sekolah yang terlibat akan melaksanakan cuti rehat khas sekurang- kurangnya selama 10 hari bermula 14 Julai yang lepas.

Sementara itu, Yusof menyambut baik pengumuman Kerajaan Persekutuan yang berjanji membayar royalti 20 peratus kepada pengeluar petroleum di negara ini khususnya di Sabah.

Katanya, ia bertepatan dengan manifesto Parti Warisan Sabah (Warisan) serta janji pilihan raya yang dibuat bersama Pakatan Harapan.

Mengulas mengenai majlis hari koperasi sekolah, beliau yakin bahawa dengan pembukaan koperasi di semua sekolah akan mampu mewujudkan perhubungan yang baik antara guru dengan pelajar dalam pengurusan perniagaan.

Selain itu katanya, pembukaan koperasi berkenaan akan membolehkan pelajar dilatih dengan skop pengetahuan asas dalam pengurusan, peniagaan, selain menguasai akademik semata- mata.

Hadir sama ialah Pengetua Cemerlang SMK Tansau Siti Salmiah Samaie dan wakil Pegawai Pendidikan Daerah Penampang Suzana Cosmas.

  • oleh
  • Advertisement