Anda di sini

Ewon sokong peranan institusi pendidikan awal kanak-kanak

Advertisement
EWON bergambar bersama rombongan Permuaafkatan IPS Kota Belud.
EWON bergambar bersama rombongan Permuaafkatan IPS Kota Belud.

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon Benedick menyokong penuh peranan institusi pendidikan awal kanak-kanak yang dilaksanakan atas inisiatif komuniti di luar bandar.

“Kesediaan komuniti mengambil inisiatif menubuhkan tadika di kampung masing-masing merupakan satu langkah positif yang perlu disokong oleh semua pihak.

“Saya berkongsi aspirasi dengan mereka mengenai kepentingan pendidikan awal kanak-kanak kerana kita mahu tahap kompetensi luar bandar dapat dipupuk dari awal lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Majlis Permuafakatan Institusi Pendidikan Swasta Kota Belud di sini, pada Jumaat.

Kunjungan itu melibatkan 55 guru penyelaras dan pengelola dari 29 buah sekolah dan tadika swasta di seluruh Kota Belud diketuai oleh Pengerusi Penyelaras Angela Teo.

Pada majlis itu Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM30,000 daripada peruntukan Adun

Kadamaian untuk membekalkan kelengkapan dan keperluan tambahan yang dikenalpasti oleh Majlis Permuafakatan itu.

“Walaupun jumlah ini tidak memadai, namun inilah tanda sokongan saya kepada pendidikan awal kanak-kanak agar keperluan-keperluan kecil dapat dibantu,” katanya.

Katanya lagi, antara lain usaha yang akan diambil untuk membantu pembangunan pendidikan awal kanak-kanak melalui permuafakatan itu ialah mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Pendidikan dan Inovasi serta mendapatkan penglibatan syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan sektor korporat.

“Saya sendiri adalah produk pendidikan swasta di tadika di kampung saya, maka sewajarnya saya berusaha memudahcarakan aspirasi bersama dalam perkara ini.

“Saya berharap lebih ramai pihak termasuk alumni di kampung masing-masing yang balik untuk menyumbang kembali kepada komuniti mereka.

“Saya sangat maklum dengan keperluan dan isu-isu yang menjadi keprihatinan utama sekolah-sekolah dan tadika-tadika swasta ini kerana saya sendiri selalu dijemput ke program-program mereka selama ini," katanya.

Beliau berkata, ini kerana kebanyakan tadika di bawah permuafakatan itu diurus di bawah gereja atau pengurusan komuniti dan jarang mendapat bantuan kecuali bantuan one-off sebelum ini.

EWON bersalaman dengan rombongan Permuafakatan Institut Pendidikan Swasta Kota Belud.
EWON bersalaman dengan rombongan Permuafakatan Institut Pendidikan Swasta Kota Belud.

“Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menyelaras dan memudahcarakan penyelesaian permasalahan mereka seperti keperluan tambahbaik bangunan, alat bantu mengajar, kemudahan akses jalan raya ke kawasan tadika dan juga elaun tenaga pengajar.

“Sebagai sokongan awal, saya akan memperuntukkan sebanyak RM30 ribu daripada peruntukan Adun Kadamaian untuk membekalkan kelengkapan dan keperluan tambahan yang dikenalpasti oleh majlis permuafakatan ini,” katanya.

Turut sama dalam kunjungan tersebut ialah Penolong Pegawai Pendidikan Swasta dari Pejabat Pendidikan Kota Belud Peter Lazim, Setiausaha Politik Carlye Lajimin dan Setiausaha Perhubungan Charles Dalansing.

Advertisement