Anda di sini

Turki tamatkan keadaan darurat sejak 2016

Advertisement
 Orang ramai menjulang bendera Turki dan potret Erdogan ketika menghadiri upacara untuk menandakan ulang tahun kedua cubaan kudeta di Jambatan Bosphorus di Istanbul, Turki pada 15 Julai lalu. — Gambar Reuters
RIUH: Orang ramai menjulang bendera Turki dan potret Erdogan ketika menghadiri upacara untuk menandakan ulang tahun kedua cubaan kudeta di Jambatan Bosphorus di Istanbul, Turki pada 15 Julai lalu. — Gambar Reuters

ISTANBUL: Keadaan darurat di Turki yang dilaksanakan selepas kudeta yang gagal pada 2016 berakhir semalam tetapi pembangkang bimbang ia akan digantikan oleh langkah perundangan yang jauh lebih menindas.

Presiden Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan keadaan darurat pada 20 Julai 2016, lima hari selepas pesawat perang mengebom Ankara dan pertelingkahan berdarah meletus di Istanbul dalam cubaan rampasan kuasa yang gagal dan meragut 249 nyawa.

Langkah itu, yang biasanya memakan masa tiga bulan tetapi dilanjutkan sebanyak tujuh kali, menyaksikan penahanan kira-kia 80,000 orang dan kira-kira dua kali ganda jumlah itu dipecat daripada jawatan dalam institusi awam.

Penyingkiran terbesar dalam sejarah moden Turki menyasari bukan sekadar orang yang dikatakan penyokong Fethullah Gulen, pendakwah yang berpang-kalan di Amerika Syarikat dan dituduh bertanggungjawab bagi kudeta berkenaan, tetapi juga golonga haluan kiri dan aktivis Kurdish.

Bekas ketua pembangkang yang pro-Kurdish, Parti Demokratik Rakyat (HDP) – Figen Yuksekdag dan Selahattin Demirtas – masih meringkuk di dalam penjara selepas ditangkap pada November 2016 atas tuduhan ada kaitan dengan puak militan Kurdish.

Dalam kempen pilihan raya presiden pada bulan lepas, yang beliau menangi, Erdogan berjanji keadaan darurat akan tamat.

Ia tamat semalam apabila kerajaan tidak memohon untuk melanjutkannya.

Namun pembangkang berang dengan tindakan kerajaan yang mengemukakan rang undang-undang baharu kepada parlimen yang dipercayai mahu merasmikan beberapa aspek paling keras dalam darurat itu.

Rang undang-undang itu, yang dipanggil rang undang-undang “antikeganasan” oleh media prokerajaan, akan dibincangkan pada peringkat suruhanjaya pada hari ini (Khamis) dan kemudian dalam sesi plenari pada Isnin.

Pembangkang utama dari Parti Rakyat Republikan (CHP) berkata langkah baharu itu sama seperti keadaan darurat tersendiri.

“Dengan rang undang-undang ini, dengan langkah itu dalam teks ini, keadaan darurat tidak akan dilanjutkan selama tiga bulan, tetapi selama tiga tahun,” kata ketua puak CHP dalam parlimen, Ozgur Ozel.

“Mereka membuatkannya kelihatan seperti mereka menarik balik darurat tetapi hakikatnya mereka sedang meneruskanya,” ujarnya.

Di bawah rang undang-undang yang dicadangkan, pihak berkuasa akan mengekalkan selama tiga tahun lagi kuasa untuk memecat penjawat awam yang dianggap ada kaitan dengan kumpulan “pengganas”, sekali gus mengekalkan kuasa penting dalam keadaan darurat.

Protes dan perhimpunan akan dilarang di kawasan awam terbuka selepas senja, tetapi ia boleh dibenarkan sehingga tengah malam jika ia tidak mengganggu ketenteraman awam.

Pihak berkuasa tempatan boleh melarang individu daripada memasuki atau me-ninggalkan sebuah kawasan tertentu selama 15 hari atas sebab keselamatan.

Suspek boleh ditahan tanpa dakwaan selama 48 jam atau selama empat hari dalam kes pelbagai kesalahan.

Pihak berkuasa juga tidak menunjukkan sebarang ke-raguan untuk menggunakan kuasa khas dalam darurat itu - hingga ke hari-hari terakhir.

Selepas satu dekri dikeluarkan pada 8 Julai lepas, seramai 18,632 orang dipecat – 8,998 daripada mereka anggota polis – kerana disyaki ada kaitan dengan organisasi keganasan dan kumpulan yang “bertindak menentang keselamatan negara”.

Tindakan diambil hanya dua minggu sahaja selepas Erdogan dipilih semula di bawah sistem baharu yang memberi lebih banyak kuasa kepadanya berbanding mana-mana pemimpin Turki sejak Perang Dunia Kedua.

Erdogan berkata ia perlu untuk membentuk kerajaan yang lebih cekap tetapi pembangkang mendakwa ia telah meletakkan Turki di bawah pemerintahan seorang lelaki.

“Penamatan keadaan darurat bukan bermakna perjuangan kita menentang keganasan akan berakhir,” kata Menteri Keadilan Abdul-hamit Gul. — AFP

Advertisement